OLEH SHAHBUDIN EMBUN

Tanggal 11 Mei (hari ini) genaplah 76 tahun usia parti berteras Melayu dan sejarah penubuhan yang penuh onak dan duri.
Saya perturunkan langkaran sejarah UMNO di bawah ini.

Kita harus meninjau balik sejarah pada Julai 1943, apabila kerajaan British telah menubuhkan “Unit Perancangan Tanah Melayu” di London, United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua  tamat.

Unit perancangan tersebut dinamakan sebagai Malayan Planning Unit (MPU) dan diketuai oleh Mejar-General Ralph Hone. Hone diberi tugas untuk merangka satu bentuk pentadbiran baharu untuk Tanah Melayu selepas perang tamat. British mencadangkan penggabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Pulau Pinang, dan Melaka menjadi Malayan Union  kecuali  Singapura dikekalkan sebagai tanah jajahan yang berasingan.

Pada tahun 1944,  Sir Harold MacMichael datang ke Tanah Melayu bagi mendapatkan tandatangan daripada raja-raja Melayu. Sir Harold MacMicheal bukanlah seorang yang arif tentang Tanah Melayu. Beliau tidak pernah berkhidmat di Tanah Melayu tetapi kerajaan British yang kerap menerima maklumat salah mengenai Tanah Melayu dan orang Melayu, percaya bahawa Sir MacMicheal pernah berkenalan baik dengan beberapa putera dari Tanah Melayu.

Semasa pemerintahan Tentera British (BMA) merupakan masa yang paling sesuai bagi MacMichael untuk mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu kerana keadaan ketenteraan amat sesuai dijadikan asas ugutan untuk mendapatkan tandatangan mereka. Beliau hanya mengambil masa 22 hari untuk mendapatkan tandatangan daripada kesemua pemerintah Tanah Melayu hasil ugutan yang amat bersesuaian dengan keadaan pada masa itu.

Pada 3 September 1945, ketika pihak British sedang menjalani pendudukan semula di Tanah Melayu, Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baharu dan bersetuju dengan misi MacMichael.

Memperoleh tandatangan daripada sultan-sultan tidak sebegitu susah seperti yang dijangka. MacMichael telah memaksa sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan pihak British dan tidak memberikan masa untuk baginda berunding dengan majlis masing-masing. Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut malah diugut akan digantikan dengan sultan yang lain di atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Pada 21 Disember, setiap sultan atau pemangku raja telah memeterai perjanjian baharu dengan Sir Harold MacMichael. Bagaimanapun, sebilangan daripada sultan itu menyatakan keraguan terhadap syarat perjanjian. Bagaimanapun, disebabkan ugutan yang mendakwa sultan-sultan memainkan peranan semasa pendudukan Jepun telah memaksa baginda untuk merelakan Malayan Union bagi menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak British. Mereka juga bimbang akan kehilangan takhta.

Tanpa disedari oleh sultan-sultan, semua perjanjian terdahulu yang mengakui hak kedaulatan sultan-sultan Melayu dimansuhkan. Dengan itu, kepura-puraan pihak British bahawa mereka ingin membantu sultan-sultan Melayu untuk memerintah dihapuskan.

Pada 1 April 1946, Malayan Union telah diisytiharkan oleh kerajaan jajahan British.

JASA ORANG MELAYU PADA RAJA DAN TANAH MELAYU

Bertentangan dengan jangkaan British, penduduk Melayu yang kebiasaannya bersikap lemah lembut dan sering melakukan apa yang disuruh, telah bangun bersama-sama untuk membantah skim yang baharu itu.

Pemimpin Melayu dan pesara British daripada perkhidmatan awam di Tanah Melayu telah mengetuai bidasan terhadap rancangan Malayan Union, dan membidas MacMichael kerana menggunakan ‘ugutan’ untuk memperolehi persetujuan daripada sultan-sultan Melayu. Pegawai-pegawai ini bertindak melobi Tanah Melayu di Parlimen.

Sultan-sultan Tanah Melayu juga telah terpengaruh oleh perasaan anti Malayan Union yang dianjurkan oleh pegawai-pegawai Melayu dan orang Melayu. Ini menyebabkan baginda sultan membantah secara terbuka terhadap cara yang digunakan oleh MacMichael untuk memperoleh tandatangan bagi perjanjian baharu itu. Sultan-sultan tersebut menolak rancangan Malayan Union dan cadangan untuk menghantar perwakilan ke London untuk memansuhkan rancangan itu telah disuarakan.

Pada 1 Mac 1946, kira-kira 200 orang Melayu yang mewakili 41 buah persatuan berhimpun di Kuala Lumpur dalam satu Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress). Kongres itu membincangkan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union.

Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Penubuhan UMNO diisytiharkan dan Datuk Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres ini juga mengisytiharkan bahawa perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak Malayan Union  dimansuhkan.

Pada 1 Februari 1948, Malayan Union dibatalkan secara keseluruhannya dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu seperti yang telah dipersetujui dengan UMNO dan Raja-raja Melayu.

Pilihan Raya Persekutuan yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan pada tahun 1955 mempertandingkan sebanyak 52 buah kerusi. Parti Perikatan berjaya memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Satu kerusi lagi dimenangi oleh PAS.

Semangat kerjasama dan muhibah dalam kalangan anggota Parti Perikatan telah menjadi teras kepada kejayaan yang diperolehi serta membawa kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Parti Perikatan berjaya membentuk sebuah kerajaan dengan Tunku Abdul Rahman, selaku pemimpin Parti Perikatan dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.

Krisis Dalam UMNO

UMNO sebagai sebuah parti terbesar kepada orang Melayu, telah menempuh tidak kurang daripada sepuluh krisis besar sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1946. Antara krisis yang dilalui ialah pemecatan pimpinan tertinggi, perpecahan dalaman, penentangan kepada pucuk pimpinan dan tekanan daripada sekutu BN.

  1. PKMM Keluar UMNO 1946

Pada 29 Jun 1946, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) menarik diri daripada bergabung dengan UMNO.

  1. Onn Jaafar Keluar UMNO 1951
    Persaingan politik antara Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar pada era 1940-an dan 1950-an adalah disebabkan oleh dua orentasi politik yang berbeza.
  2. Penubuhan Parti Islam Semalaysia (PAS) 1951

Secara teknikalnya penubuhan PAS adalah daripada Biro Agama UMNO susulan beberapa siri perjumpaan antara kumpulan ulama yang berlangsung pada penghujung tahun 1940-an dan awal 1950-an. Penubuhan PAS secara tidak langsung telah memberi satu alternatif kepada orang Melayu untuk menyalurkan sokongan kepada sebuah parti yang difikirkan dapat memperjuangkan cita rasa politik masing-masing.

  1. Pemecatan Datuk Panglima Bukit Gantang 1953

Kali pertama UMNO menghadapi krisis akibat daripada pemecatan pemimpinnya ialah pada tahun 1953. Tokoh yang dipecat ialah salah seorang pengasas UMNO yang begitu berpengaruh di Perak.

  1. Pemecatan Ultra Melayu 1969

Kejadian pada 13 Mei 1969, telah menggoncang pemerintahan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri. Di Kuala Lumpur, hubungan antara orang Melayu dan Cina telah menjadi tegang. Datuk Harun Idris telah menggerakkan sekumpulan pemuda yang dikenali “Pemuda-pemuda Tahan Lasak” berarak di sekitar Kampung Baru bertujuan menunjukkan kekuatan orang Melayu kepada kaum Cina.

  1. Penentangan Sulaiman Palestin 1978

Pemilihan UMNO 1978 mencatat sejarah apabila tradisi UMNO telah dipecahkan gara-gara tindakan yang diambil oleh Sulaiman Palestin. Sulaiman Palestin telah mengumumkan akan bersama-sama Tun Hussein Onn bertanding merebut jawatan Presiden UMNO. Akhbar Utusan Malaysia melaporkan buat kali kedua dalam sejarah 32 tahun UMNO, jawatan Presiden akan ditandingi apabila pemangku Presiden Hussein Onn ditentang oleh seorang tokoh veteran Sulaiman Palestin. Kali pertama ialah dalam tahun 1952 bila Tunku Abdul Rahman mengalahkan C.M. Yusoff dengan undi majoriti

  1. Penentangan Tengku Razaleigh Hamzah 1987

Perhimpunan Agung UMNO pada April 1987, mencatat sejarah apabila pemilihan Majlis Tertinggi menyaksikan kedudukan presiden telah dicabar dengan hebat sekali. Pada masa yang sama, beberapa jawatan tertinggi lain seperti timbalan presiden, naib presiden dan ahli Majlis Tertinggi turut menjadi rebutan dalam kalangan pemimpin UMNO. Dalam hal ini kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai presiden parti telah dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

  1. Pakatan Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah (Perang Bangsawan)

Pada penghujung 1986 tersebar khabar bahawa Musa Hitam bersama Tengku Razaleigh akan bersatu menentang Dr. Mahathir pada Perhimpunan Agung UMNO 1987. Sebenarnya sejak pertengahan 1980-an Musa Hitam dan Tengku Razaleigh telah menunjukkan rasa tidak senang dengan gaya kepimpinan Dr. Mahathir. Pada awal Disember 1986, kedua-dua pihak telah mengadakan siri pertemuan membincangkan sebarang kemungkinan untuk mereka mengadakan pakatan bagi menentang Dr. Mahathir

  1. Pemecatan Anwar Ibrahim 1998
    Pada 2 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada hari berikutnya beliau turut disingkir daripada jawatan Timbalan Presiden dan ahli UMNO. Pemecatan Anwar telah membawa UMNO ke dalam krisis yang besar pada dekad 1990-an. Tindakan ini juga menjadi krisis kedua terbesar dalam karier Dr.Mahathir sebagai presiden parti sejak peristiwa pepecahan UMNO 1987. Pemecatan Anwar telah mengubah lanskap politik negara dan kesannya tidak hanya diterima oleh UMNO tetapi melebar ke atas semua parti politik di Malaysia.
  2. Perpecahan Dalaman UMNO
    Krisis pemecatan Anwar daripada jawatan parti dan kerajaan telah menyebabkan ahli UMNO berpecah. Mereka yang selama ini menyokong kuat Anwar bertindak keluar daripada UMNO untuk menyertai PAS ataupun PKR. Golongan lain pula ialah mereka yang bersimpati dengan Anwar tetapi memilih untuk kekal dalam parti. Pemecatan Anwar turut membawa kepada penangkapan beberapa orang UMNO yang rapat dengannya di bawah ISA.

Saya sekarang berada dalam majlis Wacana Aspirasi UMNO di Auditorium UMNO WTC Kuala Lumpur dan mendengar ucapan perasmian oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ucapan Tok Mat bagitu bombastik dan penuh bermakna kepada khalayak terdiri daripada anak muda, intellektual, veteran dan pemimpin UMNO.

Tok Mat meminta supaya wacana ini mesti menjadi tempat luahan secara berterus terang tanpa retorik. UMNO mesti menjadi idea based party dan UMNO berkehendakkan pemikiran luar biasa sebab politik dunia sekarang sangat kompleks and self destructive. Tok Mat berharap semoga wacana ini dapat merencanakan strategi kekuatan parti sehingga seabad mendatang.

Kita patut sedar bahawa anak muda sekarang tidak akan bernostalgia tentang kejayaan serta sejarah perjuangan silam yang hebat. Mereka hanya pentingkan isu kontemporari, survival diri dan masa depan mereka.

Saya bersetuju dengan Tok Mat bahawa dalam wacana ini dapat dirungkai semua kekangan dan yang pentingnya UMNO mestilah kembali menerajui Putrajaya dengan secepat mungkin. Ini kerana parti pembangkang dalam keadaan masih terumbang-ambing dengan perpecahan sesama mereka. Kita patut semarakkan semangat perjuangan UMNO dan menerokai zaman.

Penulis merupakan penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik MPM