matahari bergulung manusia kalkatu

Apakah kita manusia akan jadi seperti kalkatu yang berterbangan, kebingungan mengejar cahaya. Apabila  sudah dapat menghampiri cahaya lalu jatuh.

Kemudian terbang lagi dalam kebingungan, akhirnya cahaya juga yang menjadi pilihan walaupun sedar ia kan membawa kepada kematiannya. Mahukah kita menjadi kalkatu yang kebingungan saat kiamat nanti?

Namun itulah gambaran keadaan manusia yang Allah berikan ketika kiamat berlaku. Dalam surah Al-Qaari’ah ayat 1-5, Allah berfirman,

Hari yang menggemparkan, apakah dia hari yang menggemparkan itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? (hari itu ialah hari kiamat) hari manusia menjadi seperti kalkatu yang terbang berkeliaran. Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang di busar berterbangan.”

Sanggupkah? Tidak sanggup! Tapi apa yang harus dilakukan agar kita tidak menjadi kalkatu  saat dunia ini digantikan dengan akhirat. Segala-galanya bermula di alam dunia yang menjadi jambatan akhirat.

Adakah perlu menunggu hingga matahari digulung, bintang berguguran dan langit terbelah baru hendak memulakan langkah? Ketika tidak ada maknanya taubat dan beribadat, semuanya terlambat sudah.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibn Umar, Rasulullah s.a.w bersabda,

“Barang siapa ingin melihat hari kiamat seolah-olah terpampang di depan matanya maka hendaklah dia membaca surah at-Takwir, al-Infithaar dan al-Insyiqaaq.”

Kedahsyatan kiamat tidak tergambar dengan fikiran manusia walaupun filem 2012 cuba menterjemahkannya di layar tapi hanya sipi-sipi saja. Namun yang digambarkan al-Quran membuatkan nafas bagaikan terhenti seketika , air liur ditelan terasa kesat di tekak. Begitu dahsyatkah kiamat?

Matahari Digulung

Firman Allah, “Apabila matahari digulung dan apabila bintang-bintang berjatuhan dan apabila gunung-ganang dihancurkan dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan, dan apabila lautan dipanaskan dan apabila roh-roh dipertemukan(dengan tubuh), apabila bayi-bayi perempuan yang di kubur hidup-hidup ditanya kerana dosa apakah dia dibunuh, dan apabila catatan-catatan (amal perbuatan manusia) dibuka, dan apabila langit dilenyapkan dan apabila neraka jahim dinyalakan dan apabila syurga didekatkan maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya.” (surah At-Takwir 1-14).

Sebelum itu, tenang-tenang dahulu kerana apa yang bakal dikisahkan nanti akan meruntun tangkai jantung. Masya-Allah. Pensyarah Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Sahlawati Abu Bakar, menjelaskan apa yang dimaksudkan matahari digulung.

Katanya, penggulungan matahari pada hari kiamat dalam surah at-Takwir itu membawa maksud dilipat. Menurut, Wahbah al-Zuhaili dalam tafsir al-Munir, makna apabila dilipat matahari adalah dicantumkan sebahagian dengan sebahagian yang lain seperti melipat kain serban, menghimpunkan pakaian dengan pakaian yang lain kemudian dibuang, hilang cahayanya sebagai tanda alam ini akan binasa.

Ada juga ulama tafsir mengatakan matahari digulung adalah digelapkan. Sebagaimana dalam surah al-Qiyaamah: 7-8,

Dan apabila bulan telah hilang cahayanya, matahari dan bulan dikumpulkan.”

Jelasnya, ketika itu manusia tidak tahu sama ada hari siang atau malam. Matahari tidak lagi mengeluarkan cahaya manakala bulan pun tidak terbit lagi maka sukar untuk membezakannya antara siang dan malam. 

Ahli tafsir seperti Ali Abi Talha, Al-Aufi, Qatadha, Sa’id bin Jubair dan Abu Shalih memberikan satu maksud yang sama apabila matahari dilipat iaitu matahari dihilangkan cahayanya, digelapkan, dilemparkan, dilenyapkan dan dibenamkan.

Dasyatnya hari kiamat sehingga manusia menjadi seperti kalkatu

Kesimpulannya takwir itu membawa maksud menggulung dan mengumpulkan sesuatu sehingga ia berkumpul sebahagian darinya dengan yang lain. Apabila matahari itu digulung maka akan dihilangkan cahayanya dan dikeluarkan segala isi buminya.

Hal itu juga disebutkan dalam hadis, Rasulullah bersabda,

“Matahari dan bulan akan digulung pada hari kiamat.” (HR Bukhari).

Hadis itu menguatkan lagi ayat pertama surah at-Takwir yang mengatakan bahawa dua makhluk Allah itu akan digulung pada hari kiamat. Bagaimana hendak membayangkannya digulung telah diterangkan oleh Wahbah al-Zuhaili, matahari adalah bintang paling besar dalam sistem solar dilipat seperti melipat kain. Sedangkan yang paling besar pun Allah boleh lipat apalah lagi bumi, juga akan menerima nasib yang sama.

Artikel berkaitan: Gambaran sebenar hari kiamat sebagaimana disebut dalam al-quran dan hadis

Tambah Sahlawati, sesungguhnya kedahsyatan kiamat itu tidak dapat digambarkan dengan perkataan kecuali firman Allah. Dalam al-Quran kiamat digambarkan dengan cerita langit terbelah, bintang-bintang jatuh, laut pecah, gunung-gunung bertaburan dan bumi digoncang.

Surah al-Infithar: 1-4, “Apabila langit terbelah, dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan. Dan, apabila lautan pecah bercampur-baur. Dan, apabila kubur-kubur dibongkar.”

Begitu juga dalam surah al-Insyiqaq: 1-5, “Apabila langit terbelah. Serta mematuhi perintah Tuhannya dan sudah semestinya ia patuh. Dan, apabila bumi diratakan. Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya dan menjadi kosong. Serta mematuhi perintah Tuhannya dan sudah semestinya ia patuh.”

Terangnya, banyak ayat yang dimulakan cerita kiamat dengan kehancuran bumi kemudian barulah langit dibelah dan bintang berguguran. Hal itu untuk menggambarkan bahawa bumi adalah tempat tinggal manusia.

Walaupun ada makhluk di planet lain tetapi Allah tidak menyebutnya kerana di dalam al-Quran biasa disebut wahai manusia atau wahai insan. Secara logik yang difahami tidak ada manusia yang boleh tinggal duduk di planet lain.

Hanya surah at-Takwir saja menceritakan perihal kiamat yang merujuk kepada matahari. Dan, matahari apabila dihilangkan cahaya cukup untuk memberi tahu bahawa kiamat akan berlaku, kedahsyatan kiamat itu berlaku apabila bumi digoncang.

Ketika gelap maka manusia terpinga-pinga selepas itu barulah bumi digoncang. Dengan satu ayat itu pun sudah cukup untuk menggambarkan betapa dahsyatnya kiamat. Wallahu a’lam

________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare