SEBANYAK 13,982 kes harian baharu COVID-19 dilaporkan sepanjang seminggu lepas iaitu dari 14 hingga 20 Mei, menyusut berbanding 18,136 kes sepanjang tempoh yang sama (7 Mei – 13 Mei).
Penurunan ini sudah tentu melegakan berikutan kes harian baharu yang dikesan meningkat sepanjang minggu pertama Hari Raya Aidilfitri, bermula 4 Mei (1,054 kes) sehingga angka tertinggi 3,410 kes pada 12 Mei 2022.
Semalam (20 Mei), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 2,063 kes harian baharu COVID-19. Malaysia mencatat kes harian terendah untuk 2022 sebanyak 922 pada 3 Mei.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dipetik media tempatan “mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana mengamalkan tingkah laku yang baik dalam fasa peralihan ke endemik.”
Menurut beliau, ini membuktikan bahawa rakyat negara ini mempunyai kemampuan untuk menjayakan fasa peralihan ke endemik ini dan masih patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengekang penularan Covid-19.
Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April 2022 sebagai “exit strategy” untuk membolehkan rakyat negara ini kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas dua tahun berperang dengan COVID-19.
Perlu disebut, untuk bulan Mei 2022 setakat ini (1 Mei -20 Mei), hanya satu kluster baharu dilaporkan iaitu pada 11 Mei melibatkan kluster pusat tahanan di Serian, Sarawak (Kluster Dti Semuja 4).
Dengan 2,063 kes harian baharu, kes kumulatif COVID-19 Malaysia meningkat kepada 4,487,482.
Baca: 19,137 kes Covid-19 dicatat minggu lepas – KP Kesihatan
Sebanyak 2,618 kes sembuh COVID-19 dilaporkan untuk 20 Mei, menjadikan kes aktif COVID-19 menurun sedikit kepada 29,229. Kes kumulatif sembuh setakat pukul 11:59 malam 20 Mei 2022 adalah sebanyak 4,422,615.
Sementara itu, data COVIDNOW KKM setakat pukul 11:59 mlm 20 Mei 2022 menunjukkan sebanyak 28,050 kes (96.0 peratus) dikuarantin di rumah daripada 29,229 kes aktif COVID-19 yang dilaporkan.
Sebanyak 19 kes (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC); 1,124 kes (3.8 peratus) di hospital; 16 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 20 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

