Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan./Gambar Bernama.

KERJASAMA antara Pas dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) tiada istilah ‘nyawa-nyawa ikan’ untuk menggambarkan sama ada gagasan itu masih berlangsung atau tidak.

Gagasan MN itu masih ada selagi tiada pihak membatalkan piagam yang dibentuk dalam kerjasama politik antara Pas dengan UMNO.

Itu kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan seperti dipetik BH Online.

Menurut Takiyuddin, penubuhan MN yang berkonsepkan penyatuan ummah itu bukan satu usaha yang mudah kerana UMNO dan Pas telah bertembung sejak sekian lama dalam gelanggang politik negara.

Beliau menegaskan, MN masih wujud sehingga kini, malah tiada sesiapa pun yang menandatangani perjanjian pembatalan gagasan berkenaan.

“Saya tidak tahu yang disebut ‘nyawa-nyawa ikan’ itu siapa sebab MN ada banyak pihak. Namun bagi kita, untuk mewujudkan gagasan MN ini bukan satu usaha yang mudah.

“Alhamdulillah kita berjaya mengorak satu langkah yang berkesan untuk menyatukan umat Melayu dalam satu gagasan iaitu MN.

“Bagi saya, mereka yang terbabit secara langsung mewujudkan MN amat sayang kepada gagasan ini dan orang yang tidak sayang kepada MN atau mengatakan pelbagai itu boleh jadi dia tidak terbabit secara langsung,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Muafakat Nasional gagal jika ada pihak bersikap ‘abang long’ – Ahmad Samsuri

Beliau berkata demikian dalam majlis jamuan Aidilfitri di Pasar Malam Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, malam tadi.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mengakui Pas masih optimis dan menaruh keyakinan bahawa MN merupakan gagasan terbaik menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa serta kaum.

“Setakat saya tahu, tidak pernah (sesiapa) menandatangani satu dokumen membatalkan MN, dia macam kita buat satu perjanjian antara pihak A dan B, selagi A dan B tak membatalkan perjanjian itu, ia hidup lah.

“Sehingga mana-mana pihak ini membuat satu perjanjian dipanggil ‘revocation’, iaitu membatalkan perjanjian itu, barulah terbatal. Ini tak ada orang membatalkan MN, (bermakna) MN masih hiduplah, tak timbul ‘nyawa-nyawa ikan’, hidup itu hiduplah. Kita kena optimis,” katanya.

Jumaat lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, soal masa depan MN wajar dibincangkan di peringkat jawatankuasa PAS dan UMNO sebelum hasil perbincangan dibawa kepada pimpinan kedua-dua parti untuk diputuskan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram