DI bahagian barat Afrika berdekatan kawasan pergunungan Atakora, terdapat satu puak yang mengamalkan budaya aneh dengan menoreh anggota tubuh badan mereka.

Puak ini digelar Betamaribe. Mereka percaya, meninggalkan kesan parut pada anggota badan merupakan perkara hebat dan azimat untuk melindungi kehidupan mereka.

Mengikut tradisi, amalan ini bermula sejak di usia kanak-kanak. Lazimnya, kanak-kanak pada usia dua atau tiga tahun akan memulakan proses pertama torehan parut mereka.

Ritual torehan pertama ini menggunakan sejenis pisau halus yang dipanggil teponte. Alat ini direka khas oleh tukang besi yang dipanggil Omoto. Orang yang bertanggungjawab untuk menoreh badan puak ini pula digelar odouti. Tugas odouti ini biasanya diwarisi secara turun-temurun.

Pada peringkat awal, kanak-kanak ini akan ditoreh pada bahagian muka. Torehan ini digelar yenonyore. Apabila kanak-kanak menerima torehan pertama mereka, kebiasaannya mereka akan menggelupur dan menjerit kesakitan.

Semasa adat ini dijalankan, kanak-kanak itu biasanya tidak sedarkan diri buat sementara waktu akibat kesakitan serta takut dengan darah yang banyak di muka. Selepas selesai upacara ini, mereka akan tidur kepenatan. Setelah luka tersebut kering, muncul parut yang bergaris halus di permukaan kulit muka mereka.

Mengikut kepercayaan puak ini, jika seseorang itu tidak membuat torehan, mereka tidak layak untuk dikebumikan sebagai Betamaribe. Sekiranya seorang kanak-kanak yang tidak melakukan torehan ini meninggal dunia, mayatnya tidak akan dikebumikan di kawasan persemadian puak Betamaribe.

Apabila kanak-kanak itu mencapai usia antara tujuh hingga 12 tahun, torehan kedua dipaggil bedobanadba pula akan dilakukan. Bagi kanak-kanak perempuan, torehan tambahan akan dibuat untuk membezakan jantina mereka. Torehan tambahan ini berbentuk tali pinggang dan dibuat di sekeliling bahagian perut.

Parut pada wajah lelaki dan perempuan.
Proses membuat parut.

Lahir sebagai perempuan di dalam puak ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Mereka akan menerima beberapa lagi torehan lain seperti ipediduaga apabila mereka berusia 15 tahun. Ketika di usia ini juga, remaja perempuan puak ini turut menerima torehan ikaduaga yang dilakukan pada bahagian pinggang. Selain itu, torehan di bahagian punggung yang dikenali sebagai ifonduaga turut dilakukan.

Hanya remaja perempuan yang berjaya menghabiskan semua ritual parut ini saja layak dibenarkan berkahwin. Namun, tradisi parut tidak habis setakat itu saja. Apabila mereka hamil, ukiran parut akan dibuat pula pada bahagian bahu. Mereka percaya, torehan ini akan melindungi keselamatan si ibu dan anak dalam kandungannya.

Kebanyakan lelaki dewasa turut menoreh ukiran besar pada perut mereka. Namun, keputusan sama ada ingin menoreh ukiran tersebut bergantung kepada diri mereka sendiri. Ia bukanlah satu ritual wajib.

Namun, parut tersebut akan menjadi kebanggaan buat mereka yang melakukannya. Malah, ini menaikkan ‘harga’ diri mereka apabila menjadi rebutan di kalangan wanita kaum ini untuk dijadikan calon suami.

Seiring dengan peredaran zaman yang semakin moden, amalan menoreh parut ini mulai ditinggalkan terutamanya oleh golongan muda puak ini yang sedar budaya itu lebih banyak mendatangkan mudarat.

Parut pada badan lelaki menjadikan mereka lebih ‘bernilai’ untuk dijadikan suami.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/