Tangkap layar rakaman tular memaparkan Zulfikar membantu seorang warga emas di Jalan Sentul. (Gambar kecil, Zulfikar Khatami)

SELEPAS aksinya tular membantu seorang warga emas berbangsa India dengan memberikan selipar yang dipakai, ramai tertanya-tanya kenapa pemuda itu berbuat demikian sedangkan dia langsung tidak mengenali gerangan lelaki yang dibantu.

Apa yang berlaku sedikit sebanyak membuka mata ramai netizen yang kita sememangnya hidup dalam masyarakat berbilang kaum serta tangan yang dihulur merentasi apa jua agama dan bangsa.

UtusanTV berkesempatan menemu bual, Zulfikar Khatami Norain, 24, dan bertanyakan apa sebenarnya yang membuatkan dia terdetik hati membantu seorang lelaki tua di tepi Jalan Sentul pada Rabu lalu, kira-kira pukul 6.40 petang.

Baca artikel berkaitan: ‘Dia memang anak yang baik’, dedah ibu pemuda bantu warga emas berkaki ayam

Menceritakan kembali, Zulfikar Khatami mengatakan, dia terserempak dengan lelaki itu ketika dalam perjalanan pulang ke kediamannya yang terletak di Taman Pelangi Jaya Sentul, Kuala Lumpur.

Katanya, selepas melepasi warga emas itu, dia kemudian bertindak berpatah balik kerana tidak sampai hati melihat keadaan lelaki tersebut.

“Saya sudah lihat pak cik itu dari jarak beberapa meter dan tidak sampai hati nak abaikan sebegitu. Apabila saya patah balik ke lokasi tersebut, saya dapati pak cik itu sudah terjatuh.

“Saya bantu angkat dan bawa ke tepi dan lihat keadaan kaki pak cik itu sangat menyedihkan. Kakinya kering, tidak bermaya dan seakan mereput, mungkin disebabkan sudah lama tidak memakai selipar,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Kata tukang masak yang bekerja di Mont Kiara itu, dia tidak sedikit pun teragak-agak untuk memberikan sepasang selipar miliknya selepas melihat keadaan kaki warga emas itu.

Tambahnya, dia cuba bercakap dengan warga emas tersebut, namun tiada respons diberikan.

“Saya pegang pak cik tersebut dan berikan kata-kata semangat buatnya,” kata Zulfikar.

Katanya, ketika melihat warga emas tersebut membuatkan dia terfikir akan dirinya sendiri pada masa hadapan apabila tua nanti dan juga kedua-dua ibu bapa yang tercinta.

@utusantvofficial

Nama pemuda yang tular ini, Zulfikar Khatami Norain, berusia 24 tahun. #fyp #beritaditiktok #TrendingNewsMalaysia

♬ La Vie Ne – Bilal-Music&Kaysar-上海

Malah, anak kelima daripada enam beradik ini turut berkongsi bahawa dia tidak menyedari aksinya dirakam orang ramai dan tular di laman sosial.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ramai pihak mendoakan saya selepas video tersebut tular dan setiap perbuatan saya membantu pak cik itu adalah ikhlas,” kongsinya.

Dalam pada itu, Zulfikar juga tidak ketinggalan menjadi usikan para gadis untuk dijadikan sebagai calon suami.

“Saya sekarang sudah ‘off-market’ kerana sudah bertunang awal bulan Mei lalu. Insya-Allah, akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi,” ujarnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram