Tangkap layar rakaman video berbaur dakwaan negatif terhadap pihak polis.

POLIS kini sedang mengesan seorang pemilik akaun TikTok selepas memuat naik satu hantaran berbaur negatif terhadap seorang anggotanya yang boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ia dilakukan susulan penularan rakaman video seorang anggotanya yang sedang menjalankan tugas pemeriksaan terhadap kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam di Jalan Mayang Mas, Kelana Jaya, baru-baru ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya telah mengesan rakaman video dengan kapsyen “Dia pikir kira NGX ada dokumen ke buang masa je kalau Grap je dia terus stop kan kereta yang lain lewat je hati2 teman kalau lalu sekitar Damansara”, kelmarin.

“Satu laporan polis telah dibuat bagi mengelakkan sebarang perspektif negatif dan fitnah orang awam terhadap pihak polis yang menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Penumpang parah tercampak keluar dari kereta

Beliau berkata, pengadu merupakan seorang anggota polis yang berkhidmat di Cawangan Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya.

Tambahnya, anggota polis terbabit tidak menyedari perbuatannya memeriksa kenderaan jenis Proton Saga tersebut telah dirakam oleh penumpang wanita warga asing.

“Malah, selesai pemeriksaan dilakukan, kereta tersebut dilepaskan kerana tidak mempunyai sebarang kesalahan lalu lintas, jenayah atau dadah,” ujarnya.

Sehubungan itu, polis Petaling Jaya membuka satu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi siasatan lanjut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram