Idris Ahmad dan Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyantuni dan mengucapkan selamat berangkat kepada kumpulan pertama bakal jemaah haji Malaysia di Sepang hari ini./Gambar FB Idris Ahmad

SERAMAI tiga individu daripada kumpulan pertama jemaah haji Malaysia didapati positif COVID-19 hasil ujian pengesanan RT-PCR yang dijalani sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia berkata, tiga jemaah tersebut telah memaklumkan lebih awal kepada pihaknya dan mereka kini menjalani kuarantin seperti ditetapkan.

“Selepas itu apabila mereka tiada lagi simptom-simptom, mendapat nasihat dari KKM dan kalau keputusan RT-PCR negatif dan penerbangan masih ada, kita akan cuba sedaya upaya dapatkan penerbangan untuk bawa mereka ke Tanah Suci,” katanya.

Syed Saleh menasihati bakal jemaah haji untuk mengambil ujian RT-PCR 56 jam sebelum melapor diri di stesen-stesen berlepas.

Katanya, mereka juga diminta segera memaklumkan kepada pihak TH sekiranya positif bagi membolehkan pihak TH membuat perancangan bagi membantu mereka menunaikan fardu haji pada tahun ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media seperti dilapor Bernama selepas pelepasan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 295 orang di Movenpick Sepang hari ini.

Hadir menyantuni dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Ismail Sabri Yaakob, Idris Ahmad dan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyantuni dan mengucakan selamat jalan kepada kumpulan pertama bakal jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci hari ini./Gambar FB Tengku Zafrul.

Baca: Haji: Jemaah boleh buat ujian RT-PCR secara percuma di fasiliti KKM

Haji: Selepas dua tahun, 298 jemaah berlepas ke Tanah Suci hari ini

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia itu berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia Airlines SV 5635 pada pukul 1.35 petang hari ini, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan kuota haji sebanyak 14,306 jemaah haji kepada Malaysia pada tahun ini. Dua tahun sejak 2020 jemaah Malaysia tidak dibenarkan mengerjakan haji ekoran pandemik COVID-19.

Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines, akan membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci, dengan penerbangan terakhir pada 3 Julai.

Sementara itu, lapor Bernama, seorang jemaah yang disantuni Ismail Sabri, Azimatul Zamzam Muda, 50, dari Kuantan, Pahang berkata perdana menteri mengucapkan semoga beliau dan suami mendapat haji yang mabrur.

Seorang bakal jemaah haji, Mek Teh Taib, 62, dari Kuala Terengganu, Terengganu berkata beliau sudah menunggu selama 14 tahun sejak 2008, untuk menunaikan fardu haji.

“Pada tahun 2020, saya dapat panggilan untuk menunaikan haji, tetapi semasa itu tidak dibenarkan pergi ke Tanah Suci, maka impian itu berkubur lagi.

“Tahun ini, apabila dipanggil lagi memang saya amat gembira dan Alhamdulillah kesihatan saya juga mengizinkan untuk saya ke sana,” kata suri rumah itu yang pergi menunaikan haji bersama anak lelakinya berusia 36 tahun.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’