Bangunan Parlimen Malaysia GAMBAR: Abd Razak Aid

JAWATANKUASA Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 sebulat suara bersetuju meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, jawatankuasa itu bersetuju mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya Mesyuarat Khas Parlimen dilakukan pada minggu pertama bulan hadapan.

Menurut beliau, mesyuarat jawatankuasa itu telah bersetuju dan memuktamadkan draf RUU Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No.3) 2022 untuk dibentangkan serta dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Secara umumnya, kata beliau, Jawatankuasa Pilihan Khas itu telah berjaya melaksanakan terma rujukan sebagaimana usul yang diluluskan pada 11 April lalu.

“Pencapaian ini merupakan hasil komitmen bersama oleh semua ahli jawatankuasa dengan sokongan padu Parlimen, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: RUU Larangan Tukar Parti: Jemaah Menteri minta perhalusi dua perkara

Mengulas lanjut, Wan Junaidi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) memaklumkan, lima persoalan dasar telah dibangkitkan Jemaah Menteri pada mesyuarat 1 Jun lalu telah diulas dan dijawab Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen semalam.

“Maklum balas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan perkara itu akan dibawa semula sebagai suatu Nota Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet akan datang,” jelas beliau.

Jemaah Menteri sebelum ini membangkitkan dua perkara berhubung RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti agar diperincikan dan diperhalusi semula oleh Jawatankuasa Pilihan Khas selepas dibentangkan pada mesyuarat Kabinet 1 Jun lalu.

Wan Junaidi dalam kenyataan ketika itu berkata, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri berkaitan pindaan Perlembagaan itu dan Kabinet tiada bantahan terhadap draf yang dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram