Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir kes perbicaraan membabitkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mei lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas satu tuduhan pindaan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan semula kepada Ahmad Zahid, 69, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin untuk meminda pertuduhan kedua.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan pertukaran tarikh daripada April 2017 kepada 27 Mac 2018.

Sejurus pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa, Ahmad Zahid kemudian menjawab mengaku tidak bersalah.

“Faham, mengaku tidak bersalah,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Wang dalam akaun saya cukup bayar kad kredit – Ahmad Zahid

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri telah mendapat untuk dirinya, sesuatu benda berharga iaitu wang tunai RM3 juta tanpa balasan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang beliau mengetahui bahawa UKSB tersebut mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No. 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang pada 27 Mac 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid sedang berlangsung.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram