TENAGA Nasional Berhad (TNB) hari ini mengadakan pertemuan dengan editor dan pengarang media bagi memberi penerangan mengenai perkembangan semasa, cabaran dan masa depan industri tenaga negara yang disampaikan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Baharin Din.
Penerangan berkaitan kesan kenaikan harga bahan api fosil global terhadap kos penjanaan tenaga negara, yang disemak setiap enam bulan melalui Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), yang digunakan kerajaan dalam menentukan tarif elektrik.
Penerangan bermula dari zaman operasi agensi Lembaga Lektrik Negara (LLN) yang menjadi agensi pengerak kepada pembangunan negara sebelum ia dikomersialkan menjadi TNB dan Suruhanjaya Tenaga sebagai agensi pengawal selia industri tenaga negara
Baharin turut menjelaskan mengenai masa depan industri tenaga yang lebih mampan dengan TNB menyumbang melalui pelan strategik Hala Tuju Kelestarian 2050 TNB (TNB Sustainability Pathway 2050), dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih, selari komitmennya terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Beliau juga berkongsi maklumat mengenai perbandingan dengan negara-negara jiran yang mana kadar tarif lektrik adalah yang terendah di rantau ini selepas Brunei di samping kecekapan tertinggi dalam mengendalikan secarang krisis tenaga.
Taklimat sempena Majlis Mesra Media 2022 itu turut dihadiri Pengerusi TNB, Dato’ Seri Hasan Arifin dan Pengurusan Tertinggi TNB. Ia dihadiri lebih 40 para pengarang dan editor berita am, ekonomi dan digital dari media cetak serta elektronik, termasuk UtusanTV.
Program tersebut merupakan antara pendekatan libat urus TNB bersama media pada setiap suku tahun, bagi memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat mengenai pelbagai isu industri tenaga dan sejak awal tahun, dua sesi secara atas talian telah berjaya dilaksanakan.

