Aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan menuju selatan dan utara sentiasa sesak akibat pertambahan kenderaan untuk pulang ke kampung menjelang Aidilfitri./ Gambar BERNAMA.

KESESAKAN tidak sepatutnya berlaku di lebuh raya yang dibina bertujuan melancarkan aliran lalu lintas dengan mengenakan tol. Sekurang-kurangnya itulah andaian ramai. Namun kesesakan di lebuh raya, terutama di Lembah Klang sudah lumrah.

Tidak terkecuali di lebuh raya utama, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Ini jelas pada hari-hari perayaan seperti Hari Raya. Jutaan rakyat kembali ke kampung halaman untuk bersama keluarga dan sanak saudara, atau cuti sekolah apabila ibu bapa membawa anak-anak bersantai. Juga pada cuti umum, apatah lagi jika cuti umum bersambung dengan cuti hujung minggu.

Bayangkan bagaimana situasi jika tidak ada lebuh raya. Jika mantan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mencetuskan pembinaan PLUS misalnya, dan kesemua kenderaan melalui jalan persekutuan, tentu kesesakan semakin parah kini. Pengguna tersiksa, perjalanan ke destinasi mengambil masa sangat lama.

Di kawasan bandar, khususnya di Lembah Klang, pelbagai lebuh raya dibina bagi melegakan lalu lintas di kawasan yang membabitkan lima juta penduduk. Ada NKVE, Sprint, LEKAS, DUKE dan lain-lain. Namun kesesakan tetap berlaku dan pembinaan lebuh raya rupanya tidak dapat menjadi kunci penyelesaian yang diharapkan.

Kerana itu apabila kerajaan baru-baru ini mengumumkan akan membina tiga lebuh raya baharu di Lembah Klang, pakar pengangkutan beranggapan ia bukan cara terbaik menyelesaikan masalah kesesakan, terutama di ibu negara yang sepanjang masa sentiasa berdepan dengan kesesakan.

Bagi pakar pengangkutan, sudah terlalu banyak lebuh raya di Lembah Klang. Sebaliknya alternatif yang mereka sarankan ialah untuk kerajaan menambah baik dan memperkasa pengangkutan awam sebagai usaha menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan tersebut.

BERITA BERKAITAN Trafik menuju ibu kota masih sesak

Harapannya ialah apabila orang ramai tidak membawa kenderaan sendiri memasuki kawasan bandar, terutama pada waktu puncak, kesesakan dapat dikurangkan. Dengan itu pergerakan lalu lintas lebih lancar dan selesa.

Namun yang menjadi kekangan ialah sistem pengangkutan awam di ibu negara khususnya masih belum mencapai tahap efisen untuk menjadi penyelesai kepada masalah kesesakan. Masih wujud beberapa kelemahan yang memerlukan penyelesaian segera.

Bas atau teksi umpamanya tidak dapat beroperasi dengan lancar kerana berdepan masalah tersangkut dalam kesesakan jalan raya, seperti juga kenderaan lain. Perjalanan menaiki bas sukar dirancang kerana tidak dapat menentukan berapa lama masa diambil untuk sampai ke tempat kerja atau detinasi tujuan lain.

Satu penyelesaian yang boleh membantu ialah kerajaan, melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), memperkenalkan laluan khas untuk bas sahaja. Kenderaan lain tidak dibenar menggunakan laluan khas tersebut pada bila-bila masa.

Sebenarnya ini pernah dilakukan beberapa tahun lalu apabila laluan khas untuk bas Intrakota diperkenal. Usaha ini dengan persetujuan Dr. Mahathir. Langkah tersebut dapat membantu kelancaran pergerakan bas. Namun ia kemudian ditamatkan.

Pengangkutan awam yang paling mendapat sambutan ialah Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT).

Pengangkutan awam yang paling mendapat sambutan ramai ialah Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT) serta monorel. Ketiga-tiga perkhidmatan lebih disukai dan diyakini kerana menggunakan laluan sendiri. Namun ada kala perkhidmatan ini juga terganggu akibat kerosakan, menyebabkan perkhidmatannya tidak efektif.

Begitu pun, usaha kerajaan untuk memperkasa pengangkutan awam harus dipuji. Terbaharu, Fasa 1 MRT ke Putrajaya akan bermula pada 16 Jun ini, melalui 12 stesen dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu. Perkhidmatan ini akhirnya akan bersambung ke Putrajaya pada Januari tahun 2023 apabila Fasa 2 dari Kampung Batu ke Putrajaya siap sepenuhnya.

Ia akan merangkumi laluan sepanjang 58 kilometer merentasi 36 stesen. Orang ramai yang hendak berurusan ke pusat pentadbiran persekutuan itu mempunyai opsyen menaiki MRT, tidak perlu membawa kenderaan sendiri dan kemudian menghadapi masalah mencari parkir.

BERITA BERKAITAN Terowong Menora dan ‘maharaja’ lebuh raya yang menakutkan

Beberapa masalah yang dihadapi oleh sistem pengangkutan awam perlu diberi perhatian serius dan ditambah baik sebagai daya tarik orang ramai menggunakannya. Bas yang tidak tersangkut dalam kesesakan, serta menambah rangkaian LRT atau MRT. Ini lebih baik daripada membina lebih banyak lebuh raya yang tidak menjamin kelancaran lalu lintas.

Isu kesesakan jalan raya di seluruh negara, dan Lembah Klang khususnya, ialah isu berterusan yang sukar diatasi sepenuhnya. Ini kerana kadar pertambahan kenderaan di jalan raya begitu pantas. Memetik laporan, sekurang-kurangnya sejuta kenderaan didaftarkan setiap tahun sejak 2019.

Pada tahun lalu, terdapat 33.3 juta kenderaan didaftarkan di seluruh negara. Daripada jumlah ini, 47.3 peratus adalah kereta, 46.6 peratus motorsikal dan 4.7 peratus kenderaan membawa barang. Yang lain bas, teksi dan lain-lain.

Pada tahun 2019, penduduk Malaysia keseluruhannya dianggar berjumlah 36 juta. Dengan jumlah pertambahan kenderaan mengatasi pertambahan penduduk, masalah kesesakan lalu lintas memang tidak dapat dielak.

Oleh kerana jumlah kenderan akan bertambah setiap hari, bulan dan tahun, tidak mungkin masalah kesesakan lalu lintas dapat diatasi secara tuntas. Yang berdaya dilakukan ialah mengurangkannya ke tahap paling minimum.

Tidak kiralah dibina lebuh raya baharu, diperbaiki dan dinaik taraf jalan, ia lebih merupakan usaha terbatas, sedangkan pertambahan kenderaan tidak terbatas. Saban masa kenderaan bertambah, kecuali pendaftaran kenderaan baharu disekat. Tetapi mustahil ini boleh dilakukan.

Selagi nadi berdenyut, selagi lebuh raya dan jalan raya dibanjiri oleh pelbagai macam kenderaan, selagi itu masalah kesesakan tidak dapat dielak. Selagi itulah juga usaha perlu dilakukan untuk mengatasinya sebaik mungkin. Inilah realiti yang perlu dihadapi.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram