Lima individu rentung dalam nahas tiga kenderaan berdekatan Terowong Menora, baru-baru ini. GAMBAR: Ihsan Bomba

TEROWONG Menora di laluan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) antara Ipoh ke Kuala Kangsar, Perak kini menjadi kawasan ditakuti dan dilabel oleh pengguna jalan sebagai ‘kawasan maut’. Ini berikutan beberapa tragedi kemalangan maut yang berlaku di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Terbaharu, dalam keriangan umat Islam menyambut hari lebaran, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar maut apabila kereta yang mereka naiki tersepit antara dua treler membawa muatan berat.

Kereta dinaiki mangsa yang mengekori sebuah lori membawa membawa muatan mozek bergerak perlahan kerana ada kerja membaiki jalan pada sebelah laluan, dirempuh dari belakang oleh sebuah lori membawa besi.

Impak rempuhan menyebabkan kereta tersepit dan marak terbakar. Kelima-lima mangsa tidak dapat menyelamatkan diri dan rentung. Sungguh sayu dan tragis kemalangan yang menimpa pelajar peringkat ijazah dan diploma USAS ini.

Sukar digambarkan kesedihan yang ditanggung oleh kaum keluarga menerima hakikat yang sangat menyayat hati itu. Semoga roh semua mangsa dicucuri rahmat oleh Allah dan diampuni dosa.

Sebelum kejadian tersebut, sudah ada insiden kemalangan maut sebelumnya. Antaranya lima sekeluarga rentung akibat dirempuh treler muatan bijih besi pada tahun 2018. Dua tahun sebelum itu, empat individu rentung apabila kenderaan dinaiki juga dirempuh lori.

Ini merupakan kemalangan maut utama, belum diambil kira banyaknya kemalangan kecil yang berlaku di kawasan sama. Ini menjadikan kawasan di sekitar Terowong Menora sebagai kawasan panas kemalangan sehingga merisaukan pengguna setiap kali melaluinya.

Jelas sekali kemalangan ngeri yang berlaku melibatkan lori atau treler muatan berat. Impaknya juga sama iaitu mangsa rentung sedangkan kenderaan berat itu hanya sedikit cacat calarnya.

Adakah ini bermakna pemandu kenderaan berat cuai ketika melalui terowong berkenaan walau pun mengetahui kawasan tersebut, baik dari arah utara atau selatan, memang sudah terkenal sebagai kawasan kemalangan? Mereka sepatutnya mesti memandu dengan berhati-hati.

Perhatikan laluan arah ke utara sebaik keluar dari terowong. Jalannya menuruni bukit dan berselekoh. Jika kenderaan dipandu laju, boleh sahaja hilang kawalan dan terbabas serta merempuh kenderaan di hadapan.

Perhatikan tembok konkrit pembahagi jalan pada laluan berkenaan. Nampak banyak tanda geselan. Ini membuktikan banyak kenderaan terbabas sehingga mencium tembok. Ini dipercayai berlaku kerana kenderaan terlalu laju.

BERITA BERKAITAN 5 pelajar USAS rentung sepatutnya duduki peperiksaan hujung bulan

Bayangkan jika yang terbabas dan merempuh kenderaan di hadapan itu ialah lori atau treler dengan muatan berat, sementara yang dirempuh adalah kenderaan kecil. Sudahlah badannya berat, muatannya menambah lagi berat. Memang impak jika merempuh kenderaan lain ngeri untuk dibayangkan, seperti yang berlaku kepada lima pelajar USAS itu.

Kerana itu juga pengguna lebuh raya kini menjadi fobia dengan lori dan treler. Masing-masing mahu mengelak daripada mengekori atau diekori kenderaan berkenaan. Mereka merasa cemas dan tidak selesa.

Malah di jalan biasa pun kebimbangan ini wujud. Insiden lori atau treler merempuh kenderan yang berhenti pada lampu isyarat sehingga membawa maut sudah kerap berlaku. Kerana itu kenderaan berat itu kini dianggap sebagai ‘maharaja’ lebuh raya dan ‘maharaja’ jalan yang menakutkan.

Malah ada cadangan orang ramai agar kenderaan perdagangan tidak dibenarkan melalui Terowong Menora untuk mengelakkan kemalangan. Tetapi rasanya ini sukar dilaksanakan kerana lebuh raya adalah laluan terbuka untuk semua.

Yang dituntut ialah pemandu kenderaan berat mesti lebih berhati-hati dan bertimbang rasa terhadap pengguna jalan lain, terutama pemandu kenderaan kecil seperti kereta dan van. Lori dan treler umpama durian dan kenderaan kecil umpama mentimun. Menggolek luka, digolek pun luka.

Apabila berada di jalan raya, jangan bermaharaja lela kerana beranggapan diri besar dan tidak akan terkesan teruk seandai berlaku kemalangan. Sikap ini sangat mementingkan diri sendiri tanpa peduli nasib orang lain yang terkesan teruk akibat kecuaian mereka.

Pastikan juga kenderaan dalam keadaan baik. Dalam beberapa kes, kemalangan, dilaporkan berlaku apabila kenderaan hilang kawalan, misalnya brek lori atau treler tidak berfungsi. Kegagalan menyenggara kenderaan menyebabkan orang lain yang tidak bersalah menanggung derita.

Ada pula kemalangan berlaku kerana pemandunya di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Ini juga dua punca menyebabkan kecelakaan jalan raya serius.

Sikap pihak berwajib dalam isu ini, seperti pihak polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), juga kerap kali menimbulkan persoalan. Setelah berlaku kemalangan, barulah timbul bermacam-macam cerita. Misalnya pemandu tidak mempunyai lesen, pemandu mempunyai berpuluh-puluh rekod kesalahan lalu lintas dan kompaun tidak dibayar.

Pendedahan seperti ini sebenarnya hanya menyakitkan hati yang mendengar. Kenapa tiada tindakan awal diambil dan hanya bangga bercerita setelah nasi menjadi bubur? Kenapa dibiarkan makhluk seperti itu terus bebas terlepas di jalan raya?

Kerajaan membina lebuh raya dan menambah baik jalan di seluruh negara untuk memastikan perjalanan lebih lancar, selamat dan cepat. Namun matlamat ini boleh bertukar menjadi tragedi ngeri selagi ada di antara pengguna jalan yang terus bersikap samseng dan tidak memperdulikan keselamatan orang lain.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram