Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), hari ini.

KERAJAAN akan memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input sebagai sebahagian usaha menangani isu sekuriti makanan di negara ini.

Itu merupakan satu daripada lima keputusan berkaitan sekuriti makanan dicapai mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Perbincangan tersebut melibatkan tiga perkara utama berhubung kait sekuriti makanan, memudahkan urusan perniagaan dan menangani tenaga mahir dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Mesyuarat berkenaan turut melibatkan pembentangan daripada Institut Penyelidikan Khazanah (KRI); Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC); Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) dan wakil-wakil industri.

Menurut Perdana Menteri, pengenalan harga siling bergerak itu seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan yang memerlukan seperti diumumkannya sebelum ini.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan, ekosistem agromakanan juga akan diperluaskan dengan rantaian bekalan diterajui syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan.

Kata beliau, koordinasi itu bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama anggota Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sewaktu mesyuarat hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kejayaan Janushaa bukti kewibawaan wanita Malaysia – PM

“Sebagai contoh, bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan yang berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, makanan ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga akan dipertingkat dalam usaha melonjakkan keluasan tanah bagi kegunaan pertanian.

Beliau memberitahu, langkah itu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

Jelasnya, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam masa terdekat.

“Berkaitan sekuriti makanan, kerajaan juga akan meningkatkan kerjasama awam dan swasta yang memberi fokus terhadap usaha modenisasi serta menggalakkan pertanian pintar bagi meningkatkan hasil pertanian.

“Inisiatif ini akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf.

“Memastikan hasil pertanian mempunyai pasaran seperti menggalakkan ladang kontrak di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah untuk memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran.

“Kerajaan komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik bagi mendepani cabaran global bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram