NAK untung besar, daging kerbau diisytihar daging rusa.
Perkara itu berlaku di sebuah kedai pemborong di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam.
Beza harga yang menjangkau 100 peratus itu memang lumayan untungnya namun tindakan telah diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.
Keseluruhannya, kira-kira 162 kilogram (kg) daging kerbau itu dirampas KPDNHEP dalam serbuan kira-kira dua tahun lalu.
Selepas selesai proses perundangan, hari ini daging itu dilupuskan KPDNHEP Selangor.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, daging yang dilupus itu bernilai RM1,000 dan peniaganya didapati mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mengisytiharkan daging kerbau sebagai daging rusa.
Baca: Rezeki harimau.. Zoo Taiping terima daging rampasan MAQIS
“Satu kilogram daging kerbau berharga RM28 berbanding daging rusa yang dijual antara RM50 hingga RM70,” katanya kepada pemberita selepas program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor, hari ini.

Memetik laporan Bernama, antara barangan lain yang turut dilupuskan adalah barangan tiruan seperti pakaian, kasut, baju, cermin mata serta aksesori telefon membabitkan 27 kes dari 2020 hingga 2021 dengan nilai keseluruhan RM340,000.
“Pelupusan barangan adalah selepas semua kes itu telah dijatuh hukum di mahkamah dan diselesaikan melalui kaedah kompaun menerusi arahan pihak pendakwaan.
“Kes rampasan ini melibatkan pelanggaran Akta Hak Cipta 1987, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

