KERAJAAN dijangka menyalurkan satu peruntukan khas kepada golongan muda bagi memastikan kumpulan itu terus berdaya saing dari segi ekonomi dan pendapatan.
Memetik laporan Berita Harian, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, golongan berkenaan akan menjadi tumpuan khusus dalam pembentangan Bajet 2023 dan mereka memerlukan bantuan kewangan serta modal untuk memulakan perniagaan.
“Saya percaya golongan muda ini amat penting bagi negara. Dalam bajet yang sedang kita rangka sekarang, saya masih berbincang dengan kementerian dan agensi berkaitan.
“Kita hendak memberikan peruntukan khusus kepada golongan muda dari segi modal dan pinjaman supaya mereka dapat berniaga serta berusaha meningkatkan ekonomi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Program Usahawan Big Boss di Big Boss Mart, di Rawang, Selangor.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, lebih banyak program dan kursus seperti Big Boss perlu disediakan untuk golongan muda.
Beliau berkata, ini kerana bukan mudah untuk seseorang mengendalikan perniagaan tanpa ilmu pengetahuan.

