Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan kenderaan mewah yang dirampas selepas berjaya menangkap dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

LIMA lelaki warga tempatan ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan selepas terlibat dalam kegiatan jenayah di sekitar daerah Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kes pertama membawa kepada kejayaan tangkapan dua lelaki yang terbabit dalam kecurian motosikal.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima laporan kehilangan sebuah motosikal bernilai RM3,500 yang diletakkan di kawasan parkir pangsapuri Sungai Way pada 10 Jun.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menyerbu sebuah premis kediaman di Sea Park dan Sungai Way pada 14 Jun pukul 3 petang.

“Polis berjaya menangkap dua lelaki berusia 40-an dan merampas tiga buah motosikal yang dilaporkan hilang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya.

Jelasnya, hasil semakan mendapati suspek berusia 44 tahun mempunyai sembilan rekod jenayah dan lima rekod dadah manakala suspek berusia 42 tahun mempunyai satu rekod jenayah.

“Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan pada Jumaat lalu”.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian barangan hasil daripada pecah premis kedai serbaneka yang dirampas selepas berjaya menangkap seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah premis ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Sementara itu dalam kes kedua, seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan selepas terlibat dalam jenayah pecah kedai serbaneka pada pagi 6 Jun.

Mengulas lanjut, polis telah menerima laporan kehilangan rokok pelbagai jenama, pelitup muka, dekoder kamera litar tertutup (cctv), sebuah telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM3,500.

Katanya, polis telah membuat serbuan di sebuah kediaman dekat Sungai Chua, Kajang dan menangkap suspek serta merampas barang hasil pecah premis pada pukul 8.30 malam, 15 Jun lalu.

“Turut dirampas tiga buah telefon bimbit, pelbagai peralatan pecah rumah, tong gas kecil, satu unit dekoder cctv, plastik kecil wang syiling, sebuah komputer riba dan 12 kotak kereta mainan.

“Seterusnya dua kotak pelitup muka, 14 kotak kit ujian Covid-19, dua kotak rokok dan empat batang rokok, dua pek kad sim, satu penapis air dan sebuah beg tangan Prada,” katanya.

Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah dan satu rekod jenayah komersil.

Jelasnya, tangkapan kedua-dua suspek telah berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu hadapan untuk siasatan lanjut”.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid. GAMBAR: Abd Razak Aid

Dalam pada itu, dua lagi suspek ditahan susulan disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan mencuri pada 6 Mei.

Mengulas lanjut, polis telah menerima laporan kejadian pecah rumah di kawasan Sri Damansara oleh seorang wanita pada pukul 7 pagi.

Baca artikel berkaitan: Remaja maut dalam kemalangan dua motosikal dekat LDP

Jelasnya, suspek telah mencuri beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen peribadi, wang tunai dan dua bentuk kunci kenderaan mewah di mana jumlah kerugian bernilai RM10,000.

Katanya, polis turut menerima laporan kehilangan kereta mewah di kawasan Damansara pada 8 Jun pukul 12 tengah hari.

“Hasil risikan membawa kepada dua serbuan kediaman yang terletak di Muar,Johor pada pukul 2 pagi, Jumaat lalu,” jelasnya.

Tambahnya, dua lelaki berjaya ditahan dan polis turut merampas sebuah kereta yang dilaporkan hilang.

“Turut dirampas tujuh buah telefon bimbit, pelbagai peralatan pecah rumah, dokumen peribadi milik pengadu, alat kawalan jauh berlogo Mercedec Benz, sarung tangan, jam tangan, nombor pendaftaran kenderaan pengadu, dompet dan cukai jalan kenderaan yang dilapokan hilang,” katanya.

Jelasnya, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek berusia 24 tahun mempunyai empat rekod jenayah dan satu rekod dadah.

“Manakala suspek berusia 43 tahun mempunyai satu rekod jenayah dan empat rekod dadah”.

Mohamad Fakhruddin berkata, kejayaan tangkapan ini telah berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di Petaling Jaya dan satu kes di Kontinjen Kuala Lumpur.

Katanya, kes telah disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun keseksaan.

“Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga hari ini dan permohonan tahanan reman akan disambung untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram