
Kiri kanan kelab beli pemain.
Manchester City beli Haaland.
Arsenal beli Fabio Vieira – pemain tengah yang mempunyai visi unik dan mungkin akan datang, Gabriel Jesus.
Liverpool beli Darwin Nunez dan Aston Villa beli Coutinho.
Di United, semua senyap, sunyi – macam rumah berhantu.
Chelsea tu Sis fahamlah lagi masih kelam kabut tentang penukaran pemilik baharu.
Penyokong United semua sudah penat baca perkataan ‘runding’ dan ‘berminat’. Sampai bangun pun tidur murung.
Red Devils setakat ini dah dikatakan berminat dengan lebih 100 pemain dan sudah tentunya makin ramai penyokong marah. Senarai tulis 100 orang tapi SORANG pun tak tandatangan lagi.
Baru sahaja hari tu Richard Arnold, CEO baharu Manchester United lepak dengan penyokong MU yang merancang untuk lakukan protes.
Dalam perbualan Arnold dengan mereka, beliau bersikap jujur dan tak berlapik ketika bercakap tentang aktiviti United untuk musim akan datang.
“Korang nak saya beli pemain kan? Bukan ke korang pernah cakap benda ini sebelum ini?”, kata beliau yang jelas mengutuk Ed Woodward.
Sudah tentu ada aktiviti di sebalik perairan United yang kelihatan tenang dan kosong.
Cara Arnold cakap macam beliau betul-betul yakin dengan usaha John Murtough, jadi patut ke penyokong yakin juga?
Kalau ikut Sis, Sis yakin akan ada banyak pemain yang akan tiba di Old Trafford musim panas ini.
Ye lah, Sis dari hari tu terlampau optimistik dengan orang-orang Ten Hag ini, berbanding dengan penyokong lain yang 24 jam spam Twitter MU suruh ‘beli player’.
Dan Sis faham tindakan mereka. Siapa je tak sakit hati? Musim lepas cukup teruk, pasukan lain pula dah kuatkan bahagian padang masing-masing. Tak habis-habis ‘bincang’ dengan Barcelona. Memang layak sakit hati pun tetapi tiada gunanya kita bazir tenaga spam Twitter tu. Keadaan akan begitu je.
Sis curiga kenapa United terlampau ‘senyap’ selain daripada sibuk bincang nak bawa de Jong keluar dari Camp Nou. Kenapa ramai wartawan beri laporan yang bercanggah antara satu sama lain?
Kalau korang tak tahu, setiap kelab bola mesti ada ‘briefing’ kepada media-media tentang aktiviti dalaman dorang. Pastinya, semua itu PR tetapi ia juga strategi perundingan untuk mereka dapatkan pemain yang dorang nak.
United dah banyak kali buat ketika Ed Woodward mengetuai segala perundingan untuk beli pemain tetapi sejak Arnold menggantikan tempatnya, strategi United dah berubah – mereka sudah tidak nampak faedah dorang memberikan maklumat kepada media dan akan membuat semua urusan secara senyap.
Sejujurnya Sis setuju. Sebab ye lah korang pun tahu kadang-kadang, wartawan-wartawan di Twitter yang Tweet tentang siapa nak beli siapa tu semua banyak daripada ejen atau kelab yang nak menjual pemain itu sendiri.
Akaun-akaun ni pun kadang-kadang gunakan nama United untuk dapatkan publisiti. Dorang akan kitar semula berita-berita lama, tukar-tukar ayat sikit pastu hantar kononlah macam benda baru.
Strategi Arnold untuk mengetepikan media tu tidak lah bagus sepenuhnya sebab penyokong nak komunikasi yang jelas antara mereka dengan kelab tetapi pada masa sama, Arnold yakin cara itu lebih baik berbanding sebelum ini.
Untuk Sis, strategi Woodward dulu tu tak berguna sangat pun. Bising je lebih, tapi apa hasil dia?
Kali ini Arnold mungkin nak kerahkan semua tenaga kepada beli pemain dengan harga yang betul sebab macam beliau cakap, “Kitaorang dah banyak bazirkan duit” daripada asyik nak bagitahu media dorang tengah buat apa.
Ada juga sumber dekat dengan United yang kata mereka dah ada perancangan jelas tentang siapa yang dorang nak bawa pulang ke Manchester. Ia dikatakan ‘domino effect’ – dan ini semua akan mula dengan pembelian Frenkie de Jong.
Macam Sis pernah kata sebelum ini, pengambil alihan Ten Hag dah cetus macam-macam perubahan dalam Manchester United jadi, mereka masuk musim panas ini macam budak baru belajar nak jalan.
Sudah tentunya nak beli pemain pun akan ambil masa.
Sis pun penat asyik kena sabar dan bagitahu penyokong-penyokong suruh sabar tetapi United pun tahu apa yang akan jadi kalau dorang tak buat kerja betul-betul. Bukannya Old Trafford tu tak pernah diceroboh sebelum ini..
Untuk Sis, perundingan Frenkie de Jong ini ada dilema sama ada untuk bayar sahaja 75 juta euro yang Barcelona minta itu atau runding sampai lah dapat.
Kalau Sis, bayar je 75 juta itu sebab macam Ten Hag kata, de Jong adalah satu transaksi yang boleh jadi ‘statement signing’ untuk United dan juga titik permulaan cara permainan baru. Kalau ada dia, baru boleh mula dengan yang lain.
Tetapi pada masa sama, mungkin United cuba untuk dapatkan harga yang dua-dua pihak boleh puas hati. Richard Arnold dah kata yang duit untuk de Jong tu sudah ada, jadi kenapa tak bayar je?
Rasanya kalau Joel Glazer keluarkan duit sikit dari poket dia mungkin si de Jong mungkin dah parking kereta dia dengan Carrington sekarang.
Mentaliti Sis untuk United adalah ‘ikut kamu lah nak buat apa.’ Jadi, ikut mereka lah nak buat apa. Sakit hati pun tak guna.
*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM.

