Tinjauan harga barangan basah seperti sayur-sayuran, ayam dan telur berikutan kenaikan harga barang di sekitar Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN membatalkan cadangan mengapungkan harga ayam hanya setelah beberapa hari mengumumkan harga ayam, minyak masak dan telur ayam diapungkan di pasaran.

Pembatalan ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bukan tindakan ‘pusing semula’ atau U-turn tetapi sebagai memenuhi kehendak rakyat demi kebaikan mereka. Harga siling baharu dijangka diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiande tidak lama lagi.

Bagaimana pun pengapungan minyak masak dan telur ayam diteruskan mulai 1 Julai. Dua bahan utama keperluan ‘Keluarga Malaysia’ ini akan tertakluk kepada harga pasaran berdasarkan permintaan dan bekalan.

Ismail Sabri tidak perlu gusar dengan dakwaan pembangkang atau pihak yang tidak bersetuju dengannya kononnya beliau tidak berpendirian tetap. Setelah membuat keputusan, berubah pula. Jika perubahan itu untuk kebaikan rakyat, tidak perlu risau. Orang ramai pasti menyokong.

Harga ayam memang masih perlu dikawal dengan menetapkan harga siling memandangkan ia keperluan utama seluruh rakyat Malaysia. Kebelakangan ini harganya tidak menentu sehingga mendatangkan masalah kepada rakyat, terutama yang berpendapatan rendah.

Sekali pun kerajaan menetapkan harga siling ayam RM8.90 sekilogram, ada yang menjual sehingga melepasi RM10 sekilogram, malah lebih. Jelas penjual tidak mematuhi harga ditetapkan, sebaliknya menetapkan harga sendiri melanggar arahan kerajaan.

Jika dalam keadaan ditetapkan harga siling pun harga tidak menentu, apa lagi jika diapungkan. Harga ayam akan menjadi lebih tidak menentu menurut budi bicara pembekal dan penjual. Yang menjadi mangsa ialah orang ramai yang banyak bergantung kepada ayam untuk makanan keluarga atau berniaga.

Solusi yang selalu dicadang ialah berhenti atau kurangkan makan ayam. Beralihlah kepada ikan. Tetapi harga ikan di pasaran juga melambung, malah lebih mahal daripada ayam. Ikan jenis mahal bertambah mahalnya, ikan harga sederhana juga tinggi naik harganya. Kerana itu ayam tetap menjadi bahan makanan pilihan utama.

Cuma apa yang diharapkan ialah apabila kerajaan menetapkan harga siling, pemantauan berkala perlu dilakukan. Ini untuk memastikan penjual mematuhi harga ditetapkan. Tindakan tegas mesti diambil terhadap yang ingkar.

BERITA BERKAITAN Harga maksimum baharu ayam ambil kira kepentingan semua pihak

Sepatutnya para pembekal dan penjual bertanggung jawab dan bersimpati dengan pembeli. Jika ada kesedaran ini, mereka tidak akan menjual ayam pada harga sewenang-wenangnya. Janganlah mahu mengaut terlalu banyak untung. Tetapi berapa ramaikah penjual yang ada semangat prihatin ini?

Kini rakyat juga bimbang dengan pengapungan harga telur ayam dan minyak masak. Telur pelbagai gred A, B, dan C masing-masing dijual pada harga 43 sen, 41 sen dan 39 sen sebiji di pasaran.

Mampukah harga ini dipertahan setelah diapungkan? Perlu diingat, selain ayam, telur ayam adalah juga keperluan utama rakyat. Harganya tidak harus membebankan.

Pengapungan harga minyak masak juga meresahkan orang ramai. Harga bahan tersebut pada masa ini tinggi. Satu botol lima kilogram mencecah sehingga lebih RM30. Ini dibandingkan dengan suatu ketika dahulu harganya dalam lingkungan RM22 sahaja.

Ini termasuk minyak masak keluaran Delima Oil Products, anak syarikat Felda Global Ventures (FGV). Elaun Pengerusi Lembaga Pengarah dan ahli lembaga pengarah FGV sudah dinaikkan baru-baru ini. Tentulah kerana bisnes FGV cemerlang.

Kerana itu tinjaulah sama harga minyak masak FGV seperti Saji dan Adela. Barangkali boleh diturunkan. Kongsilah sama kecemerlangan perniagaan ini dengan pengguna dalam bentuk penurunan harga minyak masak.

Bukan ditujukan kepada FGV sahaja sebenarnya. Pengilang minyak masak lain juga harus melaksanakan tanggung jawab sosial menurunkan harga. Selama ini pun sudah mengaut keuntungan. Apa salahnya berbakti sedikit kepada pengguna.

Malaysia adalah pengeskport minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia. Bersandar situasi ini, ramai tertanya-tanya kenapa harga minyak masak di negara ini tinggi. Tidak mungkinkah ia kembali kepada harga lama?

Kenaikan harga ayam, telur dan minyak masak mempunyai kesan rantaian yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Harga barang makanan di restoran atau kedai makan misalnya, akan turut naik. Kenaikan ini jarang turun walau pun harga bahan mentah turun.

Kesannya, pengguna berterusan menanggung beban. Hendaknya janganlah pengapungan harga menyebabkan pengguna ‘terapung’ dan dihanyutkan arus deras.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram