MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini tidak membincangkan isu penetapan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) seperti yang dijangka, sebaliknya lebih tertumpu isu-isu berkaitan rakyat terutama kos sara hidup yang semakin meningkat.
Mesyuarat yang berakhir tengah malam itu dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dimulakan dengan pengumuman pelantikan dan mengangkat sumpah oleh bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang baharu.
Berikut ialah kenyatan penuh oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas tamat mesyuarat tersebut:
- Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO pada 24 Jun 2022 telah membincangkan antara lain isu-isu yang melingkari kehidupan rakyat masa kini khususnya melibatkan kenaikan kos sara hidup, harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat secara mendadak lantaran inflasi dan krisis ekonomi global.
- Menyelami keperitan yang dihadapi rakyat ketika ini, maka mesyuarat membuat beberapa ketetapan seperti berikut:
2.1. Menggesa agar Kerajaan dapat segera menangani isu kenaikan harga barangan makanan asas rakyat secara holistik, sepadu dan berkesan. Sebagai contoh, dalam isu harga ayam, cadangan untuk mewujudkan Lembaga Unggas Negara wajar dipertimbangkan agar isu ayam dilihat secara menyeluruh dari aspek pengeluaran anak ayam, kos penternakan, kos dedak agar tidak mudah dimanipulasi oleh pihak kartel berkepentingan.
2.2. Menegaskan agar subsidi-subsidi bersasar yang direncanakan Kerajaan seharusnya benar-benar memanfaatkan kelompok rakyat terbanyak yang susah dan derita akibat kenaikan kos sara hidup. Ini termasuklah tidak sewenangnya menarik balik subsidi yang diberikan hanya kerana kelemahan aspek penguatkuasaan.
2.3. Mendokong keputusan Kerajaan untuk menarik balik keputusan awal bagi pengapungan harga ayam di pasaran dan tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air. Begitu juga komitmen Kerajaan untuk terus menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion meskipun berlaku peningkatan tinggi kos bahan api dan kos penjanaan adalah disokong.
- Mesyuarat juga telah memutuskan agar jentera pilihanraya UMNO di semua peringkat digemblengkan bersama dengan parti-parti komponen di bawah BN agar tahap kesiapsiagaan jentera BN keseluruhannya berada pada tahap yang tertinggi.
- MKT menegaskan kembali tentang perlunya Akta Anti Lompat Parti dibentang segera di Parlimen sebelum PRU-15. Akta Pendanaan Politik juga perlu diwujudkan agar garis panduan yang jelas mengenai kewangan parti dapat diadakan.
- Dimaklumkan bahawa Saudara Hizatul Isham Abdul Jalil telah dilantik oleh Presiden UMNO dan mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO .
Saudara Isham Jalil dikenali sebagai aktivis media sosial, berumur 46 tahun dan berkelulusan antara lain Sarjana Dasar Awam daripada Harvard University.
DATUK SERI AHMAD BIN MASLAN
Setiausaha Agung UMNO.
24 JUN 2022
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

