- Gambar Twitter Kedah FC

PASUKAN Kedah FC gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila tewas kepada Bali United 0-2 dalam perlawanan pembukaan kumpulan G Piala AFC 2022 yang diadakan di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, sebentar tadi.

Apa yang lebih malang, gol jaringan Kedah merupakan gol jaringan sendiri apabila bola yang ditampan oleh pemainnya, Ronald Ngah melencong masuk ke pintu gol Kedah ketika masa kecederaan separuh masa pertama akan berakhir.

Kedah berusaha untuk mendapat gol penyamaan dengan melakukan beberapa serangan ke kubu lawan, namun tidak berjaya disudahkan dengan jaringan.

Sebaliknya, Bali United berjaya mengukuhkan kedudukan pada minit ke-82 hasil jaringan Muhammad Rahmat yang menyudahkan hantaran Privat Mbarga.

Kekalahan itu meletakkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak di tangga tercorot kumpulan, sementara Bali United menghuni kedudukan teratas.

Visakha yang turut mengumpul tiga mata selepas menewaskan Kaya Iloilo 2-1 pada aksi sebelah petang berada di kedudukan kedua.

Gambar Kuala Lumpur City Football Club

Sementara itu, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Kuala Lumpur City (KL City) gagal memanfaatkan kelebihan bermain di padang sendiri apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 0-0 ketika bertemu PSM Makassar dalam perlawanan kumpulan H Piala AFC 2022 malam ini.

KL City yang menjuarai Piala Malaysia pada musim lalu seharusnya mampu menamatkan aksi dengan kemenangan namun beberapa percubaan dinafikan tiang dan palang yang menyelamatkan pelawat. – UTUSANTV