[DIKEMASKINI] FILEM Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang mula ditayangkan pada 23 Jun lalu, terus mendapat sambutan hangat dengan meraih kutipan RM12.2 juta dalam tempoh empat hari sekaligus mengatasi filem antarabangsa Jurassic World dan Top Gun Maverick.
Penerbit dan Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali merakamkan jutaan terima kasih serta rasa bersyukur di atas sambutan yang diberikan kepada filem terbitannya.
“Kami berasa sangat bersyukur serta terharu di atas respon-respon positif yang sangat mengalakkan daripada pelbagai pihak termasuk media dan para penonton yang hadir ke panggung wayang sejak Khamis lalu.
“Setelah sekian lama berusaha gigih untuk menghasilkan filem yang membangunkan kecintaan tanah air ini, ia telah disambut dengan begitu baik.
“Malah kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad ke acara tayangan perdana filem tersebut turut menunjukkan bahawa hasil kerja anak tempatan mendapat perhatian dari pelbagai pihak.
“Saya ingin merakamkan rasa dan penghargaan terima kasih khas kepada pihak Finas kerana menyokong dan membantu menjayakan projek filem ini dari awal lagi sehingga akhir. Kehadiran Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Hajah Zurainah bt. Musa dan Ketua Eksekutif Finas, Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim ke tayangan perdana filem ini terus membuktikan komitmen pihak Finas untuk membantu memajukan industri perfileman negara,” katanya kepada URTV.
Malah, Rahman berterima kasih kepada penonton dari Singapura dan Brunei yang turut menyokong naskhah epik terbabit.
“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penonton yang datang membanjiri pawagam- pawagam seluruh negara dan di Singapura serta Brunei.
“Kami merasa terharu atas sambutan yang sangat memberangsangkan ini,” ujarnya.
Catatan kutipan RM1 juta jualan tiket pada hari pertama tayangan itu dianggap sebagai rekod tertinggi yang memberikan makna sangat bererti kepada seluruh produksi dan tenaga kerja Studio Kembara malah buat industri amnya.
Ini antara lain memberikan mesej bahawa penonton ternanti-nantikan sekian lama sebuah filem seperti ini dan membuktikan mereka benar-benar menyokong penerbit yang mengeluarkan filem sebegini.
“Saya mendapat berita bahawa ada penonton yang sudah 50 tahun tidak memasuki pawagam namun terpanggil untuk menonton filem yang sarat mesej lagi menghiburkan ini,” jelasnya.
Sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh semua rakyat Malaysia terhadap filem bukan sahaja dari segi sokongan pembelian tiket di panggung wayang tetapi juga hadir dengan berbusana trasidional dan siap bertanjak untuk menonton filem arahan Syamsul Yusof ini, Rahman menyifatkan ini sebuah situasi yang cukup fenomena.
“Filem ini berbaloi untuk ditonton kerana dengan pelaburan hanya sekitar RM20, penonton dapat berhibur serta mendapat intipati kepada pelbagai tajuk kefahaman asas berkaitan Islam dan kenegaraan, kecintaan pada tanahair, fiqah dalam mempertahankan tanah air, persaudaraan, amanah, kesetiaan kepada negara dan kesetiaan kepada persahabatan.
“Malah isu pembelotan dan khianat dari kaca mata Islam dan kepimpinan dibawakan dalam filem ini.
“Filem ini juga membentangkan mesej pengorbanan , keberanian, keyakinan, kecekalan serta potensi diri. Malah ia juga sebuah seruan perpaduan dan melarang perpecahan,” akhirinya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

