KERAJAAN terus komited mengawal kos sara hidup rakyat apabila mengambil langkah menambah peruntukan subsidi sebanyak RM370 juta bagi bulan Julai dan Ogos tahun ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, penambahan peruntukan subsidi itu susulan pengumuman Kementerian Pertanian dan Industri Makanan semalam, mengenai subsidi ayam dan telur.

Ini menjadikan unjuran perbelanjaan subsidi bagi tahun 2022 kini berjumlah RM77.7 bilion.
Menurutnya, bagi tempoh lima bulan iaitu dari Februari hingga Jun, kerajaan menyediakan peruntukan sekitar RM730 juta untuk menampung subsidi harga ayam dan telur.
âDengan pengumuman terkini, kerajaan menyediakan RM1 bilion untuk membantu rakyat iaitu subsidi tambahan ayam dan telur untuk dua bulan, Julai dan Ogos 2022, serta bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta yang dibayar kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia mulai 27 Jun 2022.
âHakikatnya, kerajaan sentiasa meningkatkan bantuan dan subsidi kepada rakyat untuk membantu menangani cabaran kos sara hidup,â katanya dalam kenyataan hari ini.
Memberi contoh harga ayam sekilogram di Indonesia iaitu RM12.44; Thailand (RM11.65-1.2kg-1.4kg); Brunei (RM14.65); Singapura (RM24.25); Filipina (RM16.59); dan Vietnam (RM23.09-1.2kg-1.4kg), Tengku Zafrul berkata harga ayam di Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ASEAN.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan inflasi global.
Baca: Harga siling baharu ayam, telur diumum, libat subsidi RM369.5 juta
BKM: Bantuan cecah RM8.2 bilion, tertinggi dalam sejarah â Tengku Zafrul
Katanya, situasi ini bermakna kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan sepenuhnya.
Jelas beliau, berdasarkan simulasi Jabatan Perangkaan Negara, tanpa sebarang subsidi kerajaan, kadar inflasi Malaysia bagi bulan Mei 2022 boleh mencecah sehingga 11.4 peratus, namun dasar subsidi membantu membendung inflasi di Malaysia pada tahap 2.8 peratus.
âKerajaan akan terus melaksanakan pemberian subsidi dan bantuan tunai bagi melindungi rakyat daripada beban kenaikan kos sara hidup,â katanya.
Beliau berkata, tekanan inflasi pada tahun 2022, merupakan fenomena global dengan harga minyak mentah Brent kekal melebihi US$100 setong sejak akhir Mac lepas, ditambah dengan gangguan rantaian bekalan dunia yang menjejaskan bekalan baja dan makanan ternakan, menyebabkan harga makanan meningkat dengan mendadak.
Umum mengetahui bahawa kadar inflasi di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom mencecah sembilan peratus, Thailand tujuh peratus manakala Singapura dan Filipina melebihi lima peratus, katanya.

