MULUTNYA bagai bertih jagung. Sambil memberi makan anjing-anjing liar, mulut pemuda ini tak berhenti ‘membebel’. Namun, celotehnya itu yang menjadikan pemuda ini dikenali di alam maya.

Baru berusia 20 tahun, Muhammad Faiz Basirun tular di media sosial dengan video-video dirinya memberi makan kepada anjing-anjing liar.

Menurut anak muda berasal dari Langkawi ini, dia tidak menyangka niat asalnya sekadar berkongsi makanan dengan haiwan itu membuka lembaran baru dalam rutin hariannya.

“Semuanya bermula semasa bulan puasa tahun ini. Ketika itu saya berada di tepi pantai menunggu waktu untuk berbuka. Kamudian datang sekumpulan anjing seolah-olah meminta makanan.

“Saya kasihan, jadi saya bahagi dua makanan saya untuk berbuka. Hanya sebungkus nasi kerabu dan seketul ayam goreng. Separuh saya berikan kepada anjing-anjing itu,” ceritanya yang mesra dipanggil Faiz.

Selepas makan, anjing-anjing itu menyalak seakan mengucapkan terima kasih kepadanya sebelum beredar. Ia menyentuh hati Faiz. Keesokannya, dia membeli makanan dan datang semula ke situ. Anjing-anjing itu mengenalinya seakan tahu dia adalah pembawa rezeki.

Sejak kejadian itu, Faiz mulakan langkah dengan membeli makanan anjing dan memberi makan pada haiwan liar tersebut. Bukan hanya di sekitar pantai itu, malah dia ke serata tempat di Langkawi untuk memberi anjing-anjing liar makanan.

Bermula dengan berkongsi makanan pada bulan puasa lalu, ia membuka hati anak muda ini untuk memberi makan anjing-anjing liar di sekitar Langkawi.

Salah satu lokasi popular yang sering dipaparkan dalam siaran langsung akaun Tik Toknya di sebuah padang berdekatan dengan lapangan terbang Langkawi. Dalam sehari, tiga ke empat kali Faiz akan keluar memberi anjing-anjing liar makan di serata tempat di pulau yang terkenal dengan kisah Mahsuri itu.

Faiz juga terharu dengan sikap taat anjing-anjing ini sehingga mereka sudah mengenali keretanya dan berlari ke arahnya setiap kali dia datang membawa makanan.

Cacian Dan Hinaan

Walaupun ramai yang memberi sokongan, namun ada juga yang menghina apa yang dilakukan Faiz.

“Ramai juga kata macam-macam. Ada yang persoalkan kenapa saya nak bersusah payah habiskan duit untuk anjing, anjing tu kan haram. Ada yang hina anjing-anjing ini. Sikit-sikit kaitkan dengan haram.

“Saya dah lali dengan kecaman. Anjing itu pun makhluk Tuhan juga. Kenapa nak dihina? Pada saya, hinaan ini satu kebiasaan buat manusia yang hanya tahu menghukum. Saya cuma tutup telinga, malas nak layan,” jelas anak kedua daripada tiga beradik ini.

Anak kelahiran Langkawi ini malas ambil pusing dengan orang yang mencercanya hanya kerana memberi anjing makan.

Sebelum ini, Faiz merupakan seorang pelajar di UiTM. Namun, dia terpaksa berhenti belajar dan pulang ke kampung halaman kerana mahu menjaga datuknya yang sakit. Sayangnya, datuknya meninggal dunia pada bulan puasa yang lalu.

“Hilang tok kesayangan yang tiada ganti, tetapi anjing-anjing ini hadir dalam hidup saya dan setia menemani,” luahnya.

Mungkin ada hikmahnya, setelah kematian datuknya, Faiz mula ‘berkenalan’ dengan anjing-anjing liar yang kemudian membuka pintu rezekinya.

Melalui perkongsiannya di media sosial, anak muda ini semakin dikenali dan banyak menerima tawaran membuat ulasan produk, pengacara majlis dan baru-baru ini sudah mula berlakon apabila ada produksi yang berminat mengenengahkan bakatnya.

Sumbangan Daripada Tengku Permaisuri Selangor

Ditanya tentang kos memberi anjing-anjing liar makan, Faiz memberitahu pada peringkat awal dia menggunakan duitnya sendiri, adakalanya mencecah sehingga RM200 hingga RM300 bergantung kepada kekerapannya.

Selepas tular apa yang dilakukannya, ramai netizen tampil memberi sumbangan untuk Faiz membeli makanan bagi diberikan kepada haiwan-haiwan terbiar itu.

Anjing-anjing ini sungguh jinak bila bersama Faiz dan faham arahannya.
Antara sumbangan yang diterima daripada pengikutnya di laman sosial.

“Alhamdulillah, ramai yang beri sumbangan. Sama ada duit dan ada yang terus hantar makanan anjing-anjing ni. Bukan makanan saja, ada juga yang hantar vitamin dan ubat-ubatan untuk haiwan ini,” ujar Faiz.

Tambah pemuda yang suka berceloteh ini, bukan hanya orang biasa malah golongan VIP juga ramai yang turut sama memberi sumbangan. Malah, Faiz turut terharu apabila DYMM Tengku Permaisuri Norashikin yang merupakan Tengku Permaisuri Selangor juga sudi memberi sumbangan untuk anjing-anjing terbiar ini.

Untuk rekod, akaun tiktok Faiz kini telah melebihi 460 ribu pengikut dan rata-rata video memberi makan anjing yang dikongsikannya mendapat lebih satu juta tontonan.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram