SELEBRITI terkenal Izara Aishah mengakui tidak selesa dan berasa malu apabila berhadapan dengan kamera sejak dari zaman persekolahan lagi.

Justeru, pemilik nama Nik Izara Aishah Nik Izazurin, 29, itu turut tidak kisah dengan kehidupan kurang tampil dalam drama televisyen.

“Saya dari zaman persekolahan lagi memang seorang yang pemalu. Saya tak suka kamera. Saya memang tak selesa kalau orang merakam saya sejak dulu lagi.

“Kalau nak kata saya rasa kehilangan (lost) dengan kehidupan sekarang yang kurang masuk TV kan, rasanya sama saja. Tak ada perbezaan sangat.

“Kalau nak kata saya rela tu, taklah. Tapi, saya tak ada masalah dengan kehidupan sekarang,” katanya kepada URTV.

Tambah pelakon Pilot Cafe itu, dengan penampilannya yang kini bertudung, dia merasakan ramai peminat lebih bijak menilai personalitinya.

“Bila saya berpakaian macam ni (bertudung), orang akan nampak karakter saya.

“Sebab apabila saya berpakaian sebelum bertudung dan walaupun karakter saya sama sahaja seperti ini dahulu, orang tak akan nampak sangat sebab mereka menilai dari segi pemakaian saya. 

“Sebab tu lah saya kurang peminat sikit,” ujarnya.

Izara berkata demikian ketika ditemui pada majlis Ulang Tahun Pertama RR Monoscarves yang berlangsung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, petang tadi.

Pelakon kelahiran Johor Bahru itu turut menyatakan bahawa dia juga ada menerima banyak tawaran berlakon drama, namun terpaksa menolak kerana watak yang ditawarkan tidak bersesuaian dengannya.

Tambahnya, salah satu punca dia menolak  tawaran tersebut adalah kerana pihak produksi yang kurang profesional. 

“Ada banyak tawaran (berlakon) tetapi tidak ada yang sesuai dengan saya dalam aspek skrip dan jalan cerita dia. 

“Saya juga memilih produksi yang betul kerana kebanyakan produksi sekarang ni tidak serius apabila bekerja. Jadi, saya lebih suka berlakon dalam filem.

“Jadi, sebab mereka tidak profesional apabila bekerja, saya pun susah nak bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Izara juga turut memberitahu bahawa kini dia mengutamakan keluarga apabila memilih watak berlakon.

“Saya memang daripada dahulu lagi memilih watak yang sesuai. Tapi sekarang ni keutamaan saya ialah keluarga saya.

“Lagi-lagi sekarang ni saya dah ada anak. Jadi, saya seratus-peratus mengutamakan anak perempuan saya.

“Kalau saya berada di lokasi pergambaran, paling lambat adalah sampai pukul 12 malam. Kecuali kalau cerita tu cerita hantu lah. Kebanyakan produksi bersetuju dengan permintaan saya. 

“Jadi kalau perwatakan yang tak sesuai seperti babak atas katil tu memang saya tolak lah,” katanya. 

Untuk rekod, Izara mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Adib pada 17 November 2017.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan bernama Irisa Alaia.