ISTIMEWA buat peminat drama Melayu tempatan, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV dengan berbesar hati membawakan dua buah naskhah baharu menampilkan karya asal dengan genre yang berbeza yang dihidangkan secara berselang-seli untuk menghiburkan penonton secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) sepanjang Julai ini.

Drama bersiri Impian Lara terbitan Darkwave Pictures Sdn Bhd yang mengangkat genre fantasi cinta telah mengisi slot Dramatix pada setiap hari Isnin hingga Rabu jam 9.00 malam.

Ia mengisahkan tentang dua pari-pari adik beradik, Lara dan Lia yang melarikan diri ke bumi kerana Lara dipaksa untuk berkahwin. Drama 18 episod arahan Hadith Omar ini dibintangi oleh Reen Rahim yang membawa watak sebagai Lara, Fikry Ibrahim sebagai Andy, Hanna Aqeela sebagai Lia, Mustaqim Bahadon sebagai Acoi, Marissa Yasmin sebagai Queen Cahaya, Sherie Merlis sebagai Kenchana, Didi Astillah sebagai Bainun, Qi Razali sebagai Marakas, Fazlina Ahmad Daud sebagai Puan Munirah, Iman Zulkarnain sebagai Mahrujum, Riz Amin sebagai Putera Arjuna, Faizul Syaharin sebagai Azman dan Shakilla Khoriri sebagai Kella serta ramai lagi.

Manakala drama Reen Putus Cinta terbitan CTG Vision Sdn. Bhd. yang mengetengahkan genre komedi romantik pula bersiaran pada setiap hari Jumaat hingga Ahad jam 8.30 malam.

Ia mengisahkan tentang Reen yang sering gagal dalam percintaan. Kegagalan tersebut turut berpunca daripada sifat Personaliti Obsessif Kompulsif atau ‘OCD’ yang ada pada dirinya selain sering menerima nasihat yang salah daripada rakan-rakanya.

Drama 12 episod ini turut mendapat sentuhan pelakon popular Zul Huzaimy selaku pengarah serta turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon seperti Reen Rahim, Yulia, Natasha, Beego, Fahrin Ahmad, Datin Maria Farida serta ramai lagi. Dato’ Rosyam Nor, Hazama Azhar Sulaiman, Johan As’ari, Zain Saidin, Nizam Jentik-Jentik, Soffi Jikan, Luqman Hafidz, Ammar Titan, Mustaqim Bahadon dan Along Eyzendy juga terlibat sebagai penampilan istimewa dalam rantaian bersiri ini.

Mengulas lanjut mengenai drama Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli selaku Pengarah Unit Kandungan Awesome TV berkata, berdasarkan trend dan kecenderungan masyarakat di Malaysia khususnya penggemar drama Melayu tempatan, genre yang bersifat universal seperti romantik, komedi dan cinta merupakan antara yang paling mudah menarik perhatian penonton dari segenap lapisan.

“Walaupun tema ini sering disajikan, ia akan kekal popular di kalangan audiens sekiranya plot penceritaan tidak klise dan membosankan. Buktinya, setiap kali genre-genre tersebut diterapkan sebagai intipati utama yang menggerakkan keseluruhan cerita, naskhah tersebut pasti mendapat sambutan yang tidak mengecewakan.

“Sehubungan dengan itu, buah tangan terbaharu Awesome TV menerusi naskhah Impian Lara dan Reen Putus Cinta yang bertemakan kisah fantasi cinta dan komedi romantik telah dipilih untuk menghiasi slot drama sebagai pelengkap malam hari yang menghiburkan.

“Berbeza dengan drama cinta yang biasa disajikan kepada penonton sebelum ini, keunikan naskhah Impian Lara terletak kepada konsep kisah fantasi cinta santai dengan suntikan elemen magis yang sering diketengahkan dalam drama Korea atau istilah lebih dekat, K-Drama.

“Penceritaan kisah cinta fantasi seperti ini pastinya memberi kelainan kepada para penonton. Manakala kisah Reen Putus Cinta pula menampilkan penceritaan ringan tetapi padat dengan elemen ‘feel good’ yang menyeronokkan. Semoga kedua-dua buah drama ini diterima baik sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri di kalangan peminat drama Melayu tempatan. Selamat menonton!,” katanya.