YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada empat duta baharu Malaysia ke luar negara, hari ini.
Memetik laporan Bernama, istiadat pengurniaan watikah kepada empat ketua perwakilan itu diadakan di Istana Negara.
Turut berangkat ke istiadat tersebut adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Ketua-ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang baharu dilantik ialah Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Lim Juay Jin; Duta Besar Malaysia ke Jepun, Shahril Effendi Abd Ghany; Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar.
Bagaimanapun, nama Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang sepatutnya turut sama menerima watikah tersebut tidak tersenarai.
Baca artikel berkaitan: Tajuddin tidak akan dilantik Duta Besar Malaysia ke Indonesia?
Perkembangan tersebut sekali gus terus menimbulkan tanda tanya berhubung pelantikan beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia seperti yang telah diumumkan sebelum ini.
Semalam, media melaporkan Tajuddin yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak akan dilantik mengisi kekosongan jawatan berkenaan.
Ini selepas nama Tajuddin tidak berada dalam senarai terkini yang akan menerima watikah sebagai duta daripada Yang di-Pertuan Agong.
Usaha UtusanTV untuk mendapatkan komen Tajuddin gagal kerana panggilan telefon tidak dijawab.
Jawatan Duta Besar ke Indonesia kosong sejak Zainal Abidin Bakar yang dilantik pada 21 Mac 2019 bersara pada 4 April 2021.
Bagaimanapun, terdapat laporan media mengatakan penerimaan watikah Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia telah ditangguhkan ke suatu tempoh lain sekali gus menolak dakwaan mengatakan beliau digugurkan daripada jawatan tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

