PADA zaman dahulu, hampir semua ilmuwan zaman kuno beranggapan bahawa bulan memiliki cahayanya sendiri. Teori tersebut turut diselang seli dengan beberapa mitos lain mengenai bulan.

Masyarakat China kuno beranggapan fenomena gerhana bulan mempunyai kaitan dengan seekor naga langit yang telah menelannya. Kerana itu setiap kali gerhana berlaku, mereka akan membakar mercun untuk menakut-nakutkan sang naga. Kepercayaan ini wujud sehingga abad ke-19 dan ia turut dikongsi oleh suku Indian di Amerika.

Orang India zaman dahulu pula percaya bahawa apabila bulan tidak bercahaya, bakteria di atmosfera akan menjadi aktif. Disebabkan itu, mereka dilarang untuk makan atau memasak ketika fenomena tersebut berlangsung. Makanan-makanan yang telah terhidang juga perlu dibuang kerana dikhuatiri telah tercemar.

Pada tahun 840 Masihi, dikhabarkan Raja Louis dari Perancis meninggal dunia ketika menyaksikan fenomena gerhana bulan yang berlangsung selama lima minit. Beliau mati disebabkan histeria kerana terlalu takut cahaya bulan tidak lagi akan menyinari bumi pada waktu malam.

Sebenarnya, Ibnu Al-Haytham merupakan ilmuwan Islam yang menjadi perintis mengutarakan teori bahawa bulan memantulkan cahaya matahari secara sekata pada abad ke-10 Masihi. Sebelum itu, manusia mempunyai pelbagai persepsi tentang cahaya bulan, terutamanya apabila melibatkan fenomena gerhana dan bulan purnama.

Ibnu Al-Haytham, ilmuwan Islam yang mengutarakan teori bulan memantulkan cahaya matahari.

Ketika ilmuwan Islam sudah mencapai kemajuan dalam ilmu astronomi, masyarakat di Eropah dan kebanyakan bahagian lain di dunia masih lagi mempercayai bulan mengeluarkan cahayanya sendiri.

Menjelang zaman pertengahan, kepercayaan tentang bulan mula berubah. Kebanyakan ilmuwan ketika itu beranggapan bulan hanyalah satu objek berbentuk bulat sekata dan memantulkan cahaya.

Pada 1609, Galileo Galilei menjadi orang pertama menyatakan bulan adalah objek lunar. Teori tersebut dikemukakan setelah beliau melakukan pencerapan dengan bantuan teleskop. Sehinggalah pada 20 Julai 1969, ketika Neil Armstrong menjadi orang pertama menjejakkan kaki ke bulan, misteri ini berjaya dirungkai secara sahih.

Bulan tidak bercahaya, sebaliknya memantulkan cahaya matahari.

Di sebalik pelbagai teori yang diutarakan oleh manusia, Al-Quran juga turut menyentuh tentang perkara ini.

Kitab suci ini telah memberi kiasan mengenai bulan yang memantulkan cahaya melalui beberapa surah. Antaranya ayat dari surah Al-Furqan (ayat: 61), sudah cukup untuk menggambarkan bulan adalah objek pantulan.

Firman Allah yang bermaksud, “Maha suci Allah yang menjadikan di langit gugusan bintang dan menjadikan padanya matahari yang bersinar (siraaj) dan bulan yang bercahaya (munir)”.(Al-Furqan : 61)

Al-Quran mengilustrasikan perkara ini dalam satu ayat wasfiyah, yang mana matahari ditakrifkan sebagai bersinar (siraaj) manakala bulan pula bercahaya (munir).

Di dalam kamus bahasa Arab, perkataan ‘siraaj’ diertikan sebagai lampu atau pelita yang menyala dan berapi. Berdasarkan kepada kefahaman ini, matahari sebenarnya dianggap objek yang mengeluarkan cahaya sendiri melalui proses tertentu yang berlaku di dalamnya.

Manakala ‘nur’ atau ‘munir’ pula ditakrifkan sebagai kilauan cahaya atau silau. Justeru, pemahaman ini membawa maksud bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri, tetapi memantulkan cahaya matahari yang menimpanya.

Ayat ini menjelaskan perbezaan antara matahari dan bulan dalam konteks cahaya yang dikeluarkan oleh kedua-dua objek langit itu. Kiasannya adalah seperti lampu dan cermin – lampu mengeluarkan cahaya sedangkan cermin pula memantulkannya.

Setiap objek di luar angkasa sebenarnya mempunyai albedo iaitu ukuran kemampuan sesuatu objek untuk memantulkan cahaya. Sebagai contoh ialah seperti ais dan tanah, yang mana albedo tanah agak rendah, manakala ais memiliki albedo yang tinggi.

Bulan juga sebenarnya mempunyai albedo yang sangat rendah. Cahaya terang tersebut sebenarnya terhasil dari efek oposisi. Dalam kes cahaya bulan, matahari yang bersinar langsung ke arahnya menimbulkan cahaya. Pantulan cahaya ini kemudian diperkuat lagi oleh sejumlah besar debu di permukaannya, sehingga ia kelihatan lebih terang pada waktu malam.

Itulah antara mukjizat dan kehebatan Al-Quran yang dibuktikan melalui sains. Al-Quran adalah kalam Allah. Sesungguhnya Dia lah yang mengetahui segala-galanya.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare