PEMINJAM Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bakal menikmati diskaun bayaran balik pinjaman sehingga 20 peratus. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS AHLI Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN), Tan Sri Johan Jaaffar menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika beliau menerajui perbadanan itu adalah hanya ‘gendang kosong yang tidak dipalu.’

Berikut ialah kenyataan penuh tersebut:-

Kenyataan Media Tan Sri Johan Jaaffar, Mantan Lembaga Pengarah PTPN Berhubung Kenyataan Mantan Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan

Tan Sri Johan Jaafar – GAMBAR: Abd Razak Aid

Saya menganggap kenyataan Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung “sumbangan” beliau selaku Pengerusi PTPTN selama empat tahun tidak lebih daripada gendang kosong yang dipalu.

Kenyataan itu juga menampakkan keangkuhan beliau yang tidak bertempat.
Beliau dilantik sebagai Pengerusi PTPTN sebaik-baik sahaja kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.

Salah satu tindakan yang dilakukan oleh menteri yang bertanggungjawab pada ketika itu adalah menamatkan perkhidmatan sebahagian besar ahli lembaga pengarah PTPTN, termasuk Pengerusinya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Saya berbangga bekerja dengan mereka khususnya Dr Shamsul, yang walaupun merupakan lantikan politik tetapi menampakkan sikap profesionalisme yang tinggi dan komitmen yang luar biasa.

BERITA BERKAITAN Wan Saiful sahkan kontrak Pengerusi PTPTN berakhir

Saya sendiri dikekalkan sebagai Lembaga Pengarah tetapi saya meletakkan jawatan setelah hanya sekali menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Wan Saiful.

Saya berpendapat bahawa beliau tidak memahami budaya PTPTN dan lebih buruk lagi tidak menghargai sumbangan lembaga pengarah PTPTN sebelum itu.

Beliau terlupa bahawa prestasi paling cemerlang bagi PTPTN adalah pada tahun-tahun sebelum beliau menjadi Pengerusi.

Pasukan petugas PTPTN dengan bimbingan ahli lembaga pengarahnya telah memberikan perhatian pada semua perkara yang didakwanya hasil kerja beliau.

Ini termasuklah penekanan pada tabungan dan langkah-langkah proaktif mendapatkan kembali hutang dari pemimjam.

Malah PTPTN mencatatkan jumlah pungutan hutang tertinggi dalam sejarah penubuhannya pada tahun 2017 apabila institusi itu berjaya memungut sejumlah RM3.8 bilion.

Saya juga kesal dengan kenyataan beliau bahawa pegawai atasan PTPTN yang terdiri dari “mereka yang lama berkhidmat” kononnya “tidak membawa budaya kerja yang baharu atau disiplin organisasi baharu” seperti yang didakwanya.

Saya menganggap kenyataan ini dan beberapa kenyataan lain terhadap petugas PTPTN sebagai satu penghinaan pada mereka. Andaian itu sama sekali silap dan tidak bertanggungjawab.

Saya dapat memahami moral yang rendah di PTPTN sewaktu beliau menjadi Pengerusi.
Saya juga kesal kenyataan beliau bahawa PTPTN telah “dipolitikkan” oleh individu tertentu.

Pada pandangan saya, PTPTN tidak pernah dipolitikkan sedemikian rupa oleh mana-mana Pengerusi sebelum ini seperti yang beliau lakukan dalam masa empat tahun beliau di situ.

Dalam banyak hal, beliau sendiri menggunakan PTPTN tidak lebih sebagai wahana atau alat mempromosikan diri dan agenda polititiknya.

Tan Sri Johan Jaaffar

15 Julai 2022

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram