DATUK SERI Anwar Ibrahim mendakwa beliau pernah ditawarkan menjadi Perdana Menteri pada 2020, namun menolaknya kerana tidak mahu bersubahat membebaskan pemimpin yang terlibat dalam kes rasuah di mahkamah.
Presiden PKR itu mendedahkan, ketika itu beliau mempunyai peluang untuk menjadi perdana menteri apabila mendapat sokongan majoriti menerusi akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen pembangkang dan wakil rakyat UMNO.
Memetik laporan BH Online, Anwar berkata, bagaimanapun beliau terpaksa menolak selepas diminta memberi jaminan untuk menutup kes mahkamah yang membabitkan dua pemimpin dalam UMNO.
Walaupun tidak menamakan kedua-dua pemimpin itu, kenyataan Anwar itu dipercayai berkaitan kepada dua pemimpin UMNO Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang masing-masing kini berdepan pertuduhan di mahkamah.
“Saya tidak suarakan perkara ini kerana membabitkan Yang di-Pertuan Agong, tetapi tandatangan pembangkang saya ucap terima kasih ‘solid’ (kukuh) 105 (Ahli Parlimen), kemudian daripada UMNO 15 (orang).
BERITA BERKAITAN Pemilihan PKR sekadar sketsa politik Anwar Ibrahim
“Kata (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke tolak dua, kluster mahkamah terang-terang itu tidak boleh diterima jadi (kita ada) 13 (Ahli Parlimen UMNO), kita dapat majoriti,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen IDEAL di Shah Alam, hari ini.
Anwar pada September 2020, melalui sidang media mendakwa mendapat sokongan lebih 120 Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.
Beliau ketika itu mendakwa memiliki dokumen sahih dalam bentuk SD dan pengesahan ketua parti politik mengenai majoriti kukuh serta meyakinkan daripada Ahli Parlimen yang menyokongnya, namun tidak mengemukakan nama Ahli Parlimen yang menyokongnya.
Dalam pada itu, Anwar mengakui rela sekiranya ahli dan pemimpin PKR memilih Presiden lain untuk menerajui parti sekiranya melihat beliau sebagai seorang pemimpin yang gagal.
“Ada yang kata Anwar ni gagal…dengar ni, kalau saya nak berjaya dengan jadi ‘penjilat’ kepada perasuah, pilih Presiden lain,” katanya.
Sebelum ini, timbul pertikaian mengenai status Anwar yang dianggap sebagai liabiliti kepada parti susulan prestasi buruk PKR dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung pasca PRU-14.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Abdullah, mempertahankan Anwar dengan mengingatkan semua ahli PKR melihat kembali pencapaian parti dalam PRU yang sekali gus melambangkan perjuangan pemimpin nombor satu parti itu.
Sementara itu, Anwar melalui ucapan sama membidas ahli politik yang mendakwa sebagai pejuang Islam dan Melayu, namun pada masa sama menyelewengkan berbilion ringgit dana awam.
Tanpa menamakan sesiapa secara khusus, Ahli Parlimen Port Dickson itu membandingkan mereka dengan bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa yang baru-baru ini terpaksa lari meninggalkan negara.
“Nama pun ‘raja paksa’. Paksa rakyat, menindas, menimbulkan permusuhan antara penganut Buddha, Hindu dan Muslim (di Sri Lanka).
“Akhirnya diterajang rakyat setelah menjarah harta dan khazanah negara,” katanya.
Beliau menegaskan, individu seperti itu akan sentiasa ada dalam politik termasuklah di negara ini.
“Apabila terdesak, mereka kata demi kepentingan negara, demi Melayu dan Islam. Padahal langkah-langkah diambil semuanya langgar tata susila dan adab Islam.
“Mana ada adab Islam izinkan khazanah negara berbilion ringgit diambil untuk kepentingan individu. Sebab itu ada pandangan (mengatakan) ‘patriotisme is the last refuge for the scoundrel’ (patriotisme menjadi perisai terakhir ara penyangak),” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

