Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli telah dilantik mengetuai 'pasukan perang' PKR bagi menghadapi Pilihan Raya. GAMBAR: Abd Razak Aid

“SAYA mungkin lantang tapi saya bukan (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali.”

Itu kata Timbalan Presiden PKR yang baharu, Rafizi Ramli yang menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali membelakangi dan mengkhianati parti.

Ucapan tersebut merujuk kepada tindakan Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR yang meninggalkan parti itu susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas hanya 22 bulan mentadbir negara pada tahun 2020.

Menurut Rafizi, beliau telah membuktikan bahawa dirinya tidak berminat dengan jawatan menteri atau dalam pentadbiran awam.

“Saya nak ambil kesempatan untuk bercakap terus dengan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya disaksikan oleh semua.

“Saudara Anwar kenal saya sejak umur saya 17 tahun, masa saya kahwin dulu, saudara Anwar buat majlis dekat rumah dia.

“Saya telah buktikan saya tak berminat dengan jawatan menteri atau jawatan awam,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Anwar Presiden, Rafizi Timbalan Presiden PKR secara rasmi

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam Kongres Nasional PKR Ke-16 di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC).

Semalam, Rafizi mengingatkan kepimpinan baharu dan ahli PKR supaya tidak terlalu membodek atau mempertahankan Anwar dalam setiap perkara.

Beliau mendakwa masalah timbul apabila terdapat kelompok di sekeliling Anwar yang sering merasakan mereka perlu membela pemimpin berkenaan sehingga tidak boleh ada fakta yang dilihat menyentuh (mengkritik) presiden parti itu.

Mengulas lanjut, Rafizi turut menegaskan bahawa beliau bukanlah seorang yang ‘manis di bibir’ tetapi ‘menikam’ di belakang.

“Saya tak pernah janji nak pecahkan tembok penjara untuk bebaskan Anwar masa Anwar Ibrahim masuk penjara.

“Depan janji, belakang runding nak jadi Perdana Menteri. Saya tak angkat, julang atau puji. Kalau Presiden nak kecil hati, kecil hatilah.

“Tapi saya harap saya dihakimi, diadili dengan usaha dan kerja saya dengan konsistensi saya yang sebut beberapa perkara,” ujar beliau lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram