Jenazah Tan Sri Mustapha Kamal selamat disemadi

Dari Penulis

Jenazah tokoh korporat Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar yang meninggal dunia pagi tadi selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di ibu negara, pada kira-kira 3 petang tadi. 

Jenazah Mustapha Kamal, 73, sebelum itu dimandi dan dikafankan di kediamannya pada kira-kira 2 petang sejurus selesai solat zohor di Jalan Petaling Jaya Utama, Damansara Perdana.

Suasana pilu turut dapat dirasai apabila ratusan ahli keluarga dan rakan-rakan hadir di tanah perkuburan berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadhillah Yusof.

Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Seri Wan Nong Wan Ibrahim dan empat anak iaitu Felina, Datuk Fazwirrna, Farah Mahami dan seorang anak lelaki Ahmad Khalif serta 15 cucu.

Baca: Tan Sri Mustapha Kamal meninggal dunia

MPI zahir takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal

Mustapha Kamal meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 7.45 pagi tadi kerana sakit tua.

Allahyarham merupakan pengasas Kumpulan Syarikat EMKAY yang menawarkan rumah mampu milik. Syarikat hartanah miliknya itu ditukar nama kepada MK Land Holdings Berhad selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada Ogos 1999.  

Pada awal kerjayanya, siswazah Universiti Malaya dan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Hartanah Lestari) daripada Universiti Utara Malaysia dan Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan dan Keusahawanan daripada Universiti Teknologi MARA, antara lain pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Petaling antara 1971 hingga 1976.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemuda 23 tahun jatuh 9 meter ketika baiki silo di Ipoh

SEORANG pekerja kilang berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembaikan di sebuah...

More Articles Like This