Keadaan kenderaan pelbagai guna (MPV) NIssan Grand Livina milik Allahyarham Muhammad Iman Aqmar yang dinaikkan dari Sungai Api-Api, Nenasi, Pekan.

JENAZAH Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain yang ditemukan dalam sebuah kenderaan di Sungai Api-Api, Nenasi, Pekan, Sabtu lalu dijangka dikebumikan malam ini.

Memetik laporan BH Online, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Pasir Gudang selepas selesai dimandi dan disolatkan di Hospital Kuantan, Pahang.

Ibu Allahyarham Muhammad Iman Aqmar, Azmawati Ab. Kadir, 55 memaklumkan, Allahyarham akan dikebumikan di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang.

“Jenazah akan dibawa pulang ke Johor hari ini, selepas selesai jenazah dimandikan, dikafan dan disolat. Mungkin lepas Asar kami akan bertolak.

“Dijangka dikebumikan malam ini di Kampung Pasir Putih Pasir Gudang,” katanya.

Pagi tadi, adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah Dzulkarnain, 21, dalam hantaran di media sosial memaklumkan jenazah abangnya masih belum boleh dituntut.

Justeru, Izz Anisah memohon orang ramai mendoakan supaya urusan tersebut dipercepat dan dipermudahkan.

Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar, 24, pernah tular di media sosial tahun lalu selepas Izz Anisah memohon bantuan orang ramai mengesan abangnya selepas dikatakan hilang tanpa khabar.

Baca artikel berkaitan: Jenazah Muhammad Iman Aqmar belum boleh dituntut

Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada pukul 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.

Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga serta majikannya.

Kelmarin, polis dilaporkan menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan yang dipercayai mayat seorang lelaki yang hilang sejak hampir 10 bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, dilaporkan berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.

Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.

Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga mangsa.

Rangka mayat itu kemudian dilaporkan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat manakala kenderaan ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram