KOMPOSER muda, Chevy Amry meluahkan rasa terharu apabila gitaris terkenal kumpulan Search iaitu Kid menyatakan kesudian untuk memainkan semula lagu ciptaannya berjudul Lambaian yang dinyanyikan oleh Datuk Hattan, dalam bentuk instrumental.

Lagu yang ditulis oleh Datuk Habsah Hassan itu dicipta khas buat isteri Kid, Allahyarham Noraznin Yusuf atau Kak Nin yang meninggal dunia tahun lalu.

“Kid sebak ketika membaca lirik Lambaian kerana setiap bait lirik itu sangat relevan dgn situasinya ketika itu yang sedang diuji dengan penyakit kanser isteri kesayangannya.

“Namun, dia amat meminati lagu ini yang baginya kuat dari sudut melodi vokal dan susunan muzik. Bagi Kid, setiap kali mendengar lagu Lambaian, ada nilai sentimental yang sekaligus membuatkan dia terbayangkan arwah Kak Nin.

“Bayangkan, dikala kesibukan Kid berulang-alik ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) setiap hari, dia masih sempat menyiapkan rakaman gitar lagu Lambaian.

“Namun, dalam beberapa jam selepas itu, dia dikejutkan dengan berita kematian arwah kak Nin pada waktu Subuh keesokan harinya,” katanya kepada URTV.

Menurut Chevy, arwah Kak Nin sempat mendengar demo lagu Lambaian beberapa hari sebelum pemergiannya.

“Sebagai pendokong kuat karier suaminya, Arwah dengan sendirinya tahu itu adalah petikan gitar Kid dan sangat menyukai lagu ini.

“Pada suatu malam ketika dalam kesedihan merindukan Kak Nin, Kid secara spontan (dengan mata terpejam) telah merakamkan versi instrumental Lambaian.

“Nota-nota muzik yang terhasil itu adalah ikhlas daripada jiwanya. Ramai yg tersentuh dan menangis ketika mendengar Kid memainkan lagu instrumental Lambaian secara ‘live’ di Rooftop Campbell ketika sesi soundcheck 10 June lalu,” ujarnya.

Ini membuktikan bahawa Kid adalah gitaris yang penuh jiwa, ikhlas dalam berkarya.

“Kita semua dapat merasainya setiap kali Kid membuat persembahan solo. Dia seolah-olah ada cerita yang ingin disampaikan dan menusuk ke jiwa pendengar.

“Sama-sama kita mendoakan semoga arwah Kak Nin sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” ungkapnya.

Muzik video (MV) rasmi lagu nyanyian Hattan itu telah dirilis dan boleh ditonton di Youtube Ada Exists Sdn Bhd, manakala (MV) Kid Search-Lambaian (Instrumental) boleh ditonton di Youtube channel BigKidd Official.