Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti disokong dan diluluskan sebulat suara oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Jelas beliau, RUU tersebut merupakan satu sejarah besar negara kerana dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

Beliau turut berharap RUU itu melakar sejarah sepertimana Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 yang memperoleh sokongan penuh daripada semua ahli parlimen.

“Penggubalan RUU ini telah mengambil masa hampir setahun. Sesungguhnya, proses penggubalannya bukanlah suatu proses yang mudah.

“Ini kerana ia melibatkan masa, tenaga dan komitmen semua pihak terlibat iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Parlimen Malaysia.

“Sehubungan itu, sokongan semua Ahli Yang Berhormat kepada pindaan Rang Undang-Undang ini amatlah penting memandangkan keperluan fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dimana satu Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan hanya dapat diluluskan jika mendapat sokongan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga tidak kurang dari dua pertiga (2/3) atau 148 (jumlah minimum) dari jumlah Ahli Majlis Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat hari ini.

Baca artikel berkaitan: RUU Anti Lompat Parti: Dewan Rakyat lulus usul bentuk Jawatankuasa Pilihan Khas

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, parameter gubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 – Pindaan Dalam Jawatankuasa itu telah ditetapkan.

Jelas beliau, antaranya adalah perundangan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti ini tidak akan terpakai secara restrospektif iaitu pelaksanaan Akta mulai tarikh kuat kuasa Akta.

“Selain itu, pendekatan satu langkah dengan izin, diambil dalam memperkenalkan undang-undang larangan bertukar parti, iaitu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Ahli Dewan Rakyat yang keluar dari parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Perdana Menteri turut menerangkan mengenai pengecualian terhadap larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Antaranya menurut beliau, Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Selain itu, pelepasan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat daripada parti politik apabila dipilih menjadi Yang Di-Pertua Dewan Rakyat tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Katanya lagi, pemecatan Ahli Dewan Rakyat dari keanggotaan dalam parti politik dikecualikan dari Ahli Dewan Rakyat terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram