DATUK Hasan Arifin (BN-Rompin) bukan orang baharu dalam politik, sejak 1986 beliau sudah menjadi wakil rakyat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Malah, Hasan, 69, merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Pahang dan pernah sama-sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Presiden PKR itu menjadi orang nombor dua UMNO.
Hari ini, di Dewan Rakyat, Hasan berpeluang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti yang bermula semalam.
Keseluruhannya ada 54 ahli Parlimen daripada ketiga-tiga blok (kerajaan, pembangkang dan Bebas) berucap membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti
Bezanya beliau dengan Ahli Parlimen lain ialah ego. Hasan ‘meninggalkan’ ego politik seketika.

Beliau dengan rendah diri mengakui RUU ini akhirnya terpaksa digubal kerana ‘kegagalan kita semua (ahli Parlimen) dalam membentuk budaya politik dan demokrasi sihat.’
Sedangkan yang lain walaupun mengakui RUU itu sebagai permulaan yang baik, tetapi sarat dengan ego menyalahkan lawan kenapa lompat parti berlaku – ibarat ayam berkokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.
Lihatlah. Apabila wakil Parti Amanah menyalahkan blok kerajaan, ada suara akan mengungkit yang pemimpin Amanah juga mengkhianati Pas (keluar Pas dan bentuk parti baharu).
Begitu juga apabila wakil BN mengkritik kemelut kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad akibat pergolakan dalaman PH sendiri, ada juga suara membidas kembali.
Kata blok pembangkang, runtuhnya PH kerana UMNO dan Pas ‘menghulurkan tangga’ kepada Gombak dan Pagoh.
Bahkan apabila PKR bercakap, ada juga masih teringat bagaimana projek 16 September (2008) yang cuba dipertahankan seorang pemimpinnya bahawa mereka melakukannya menerusi saluran Parlimen dan Perlembagaan – berbeza dengan apa dilakukan BN dan PN.
Begitu juga dalam kalangan pemimpin di Sabah. Tidak akan Warisan dan PH membentuk kerajaan negeri jika tidak ada yang melompat ke arah mereka.
Ya, ada juga mengingatkan soal peruntukan kepada wakil rakyat. Biar adil tanpa mengira YB pembangkang atau kerajaan kerana ada juga yang melompat kerana soal itu.
Secara keseluruhannya dua hari perbahasan ini, banyak cerita kau tuduh aku, aku tuduh kau. Telunjuk lurus kelingking berkait.
Masing-masing sarat ego di sebalik mahukan undang-undang anti lompat.
Sebab itu, ucapan Hasan sangat tepat. Wujudnya undang-undang ini kerana sikap orang politik juga.
Baca: Sejarah tercipta di Parlimen, RUU anti lompat parti dilulus sebulat suara
PM harap RUU Anti Lompat Parti disokong ahli-ahli Dewan Rakyat
Lompat parti dahulunya hanya menjejaskan kestabilan beberapa negeri (antaranya Terengganu, Kelantan, Sabah dan Perak), tetapi pada penggal Parlimen ini sudah melibatkan ketidakstabilan kerajaan Persekutuan.
Memang implikasinya cukup besar kepada negara apabila tidak ada kestbabilan di peringkat nasional.
Justeru, ini seperti mana dengan lain-lain undang-undang. Sebelum digubal atau dipinda, biasanya akan berlaku masalah dulu barulah digubal bagi mengawal masalah itu.
Maka setelah sejarah tercipta apabila ahli-ahli Parlimen bersatu hati menyokong pindaan RUU ini, bersama-samalah letakkan kisah lompat parti atau katak sebagai sejarah politik di Malaysia.
Asalnya Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberi hak berpersatuan termasuk kepada Ahli Palimen dan ADUN untuk menganggotai parti mana yang mereka sukai. Kebebasan ini disahkan mahkamah dalam kes Nordin Saleh v DUN Kelantan.
Namun ini sudah tentu perlu dilakukan dengan suci hati, memilih kerana prinsip dan sebab mulia lain. Apabila kebebasan ini sudah menjadi cerita lain yang menjejaskan kestabilan negara, maka pindaan diperlukan.
Memang tak perlu pun undang-undang hendak mengawal wakil rakyat jika semua mampu bersikap sebagai seorang Parliamentarian termasuk dalam menghormati mandat pengundi.
Apatah lagi undang-undang ini juga masih jauh dari kesempurnaan walaupun satu permulaan yang cukup baik.
Antara yang masih berbangkit bagaimana jika dipecat, tak ikut Whip parti, perubahan gabungan parti dan sebagainya menjadikan kawalan terhadap lompat parti sebenarnya isu yang sangat kompleks.
Empat puluh negara yang sudah mempunyai akta anti lompat juga masih ada kekurangan di sana sini dalam pelaksanannya.
Sekali lagi, yang lebih penting sikap Ahli Parlimen dan ADUN. Apa pun, tahniah kepada ahli-ahli Parlimen yang semuanya sokong undang-undang mengawal mereka.

