KISAH yang hendak saya ceritakan ini sudah lama berlaku, lebih 12 tahun yang lalu, ketika saya dalam semester pertama di sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Selangor.

Sebagai pelajar baru, saya dan rakan-rakan sering juga dibuli oleh pelajar senior. Maksud saya dibuli adalah dari segi penggunaan bilik basuh pakaian.

Kalau kami sedang basuh pakaian pada waktu petang atau lepas balik kuliah, jika ada pelajar senior yang datang, terpaksalah  saya beri laluan kepada mereka. Bukan saya sahaja, pelajar baru yang lain pun sama, harus beri laluan kepada pelajar senior untuk menggunakan pangkin basuh baju.

Sudahlah begitu, pelajar senior juga pantang mendengar ada bunyi orang memberus pakaian, mereka akan menjenguk. Kalau yang sedang basuh itu pelajar baru macam saya, mereka akan suruh basuhkan pakaiannya sekali.

Disebabkan itu, ramai pelajar junior membasuh pakaian pada waktu lain supaya tak bertembung dengan pelajar senior. Biasanya saya dan rakan-rakan membasuh pada waktu malam, larut malam atau awal pagi.

Saya dan kawan-kawan rapat memilih untuk membasuh pakaian pada awal pagi. Waktu begitu pelajar lain jarang membasuh pakaian sebab mereka sudah lena diulit mimpi. Tiada pelajar-pelajar senior yang mengganggu.

Kami pelajar baru akan membasuh secara berkumpulan. Lebih seronok kalau yang satu kepala. Dapat menghilangkan rasa bosan, ada juga teman bersembang.

Namun, pada satu awal pagi, kawan-kawan rapat saya semua tak dapat ikut untuk membasuh. Ada yang balik kampung, ada yang demam dan selebihnya tiada pakaian hendak dibasuh. Ketika itu hanya Suraya, salah seorang rakan yang sudi temankan saya untuk basuh pakaian.

Tapi, Suraya datang lambat sedikit kerana harus menyiapkan esei yang hendak dihantar keesokan pagi. Mahu tidak mahu terpaksalah saya membasuh pakaian seorang diri. Sudah lima hari pakaian saya belum dibasuh. Jika hendak tunggu mereka semua, jawabnya habislah stok baju bersih saya.

Jadi, awal pagi itu saya ambil keputusan untuk membasuh sendirian sambil mengharap Suraya datang cepat temankan saya.

Hampir pukul 1.00 pagi, saya melangkah masuk ke ruang basuh pakaian yang sunyi sepi. Walaupun terasa agak seram, saya beranikan diri bila mengenangkan banyak baju harus dibasuh.

Setelah tiga helai baju dibasuh, ekor mata saya perasan seolah-olah ada seorang lelaki memerhatikan saya. Pelik, kenapa ada lelaki dalam asrama pelajar perempuan? Kenapa dalam bilik membasuh pula? Soalan itu bermain-main di kepala saya.

Saya lihat dari ekor mata, lelaki itu duduk di penjuru pangkin basuh pakaian, berjarak kira-kira tujuh meter dari saya. Terus saya berharap ketika itu agar Suraya cepat datang.

Entah kenapa, bulu tengkuk saya mula meremang. Dalam rasa tak keruan itu, saya memberanikan diri menoleh ke arah susuk tubuh itu. Hah, tak ada orang pun! Hmm… mungkin perasaan saya saja. Tak ada pun lelaki sedang duduk di situ.

Saya sambung semula membasuh. Namun, baru beberapa minit khusyuk memberus, dari hujung ekor mata saya jelas kelihatan susuk tubuh seorang lelaki tua sedang duduk di bucu pangkin. Ishhh… biar betul, tadi saya toleh tak ada!

Saya nekad, kali ini saya nak toleh. Kalau tadi saya toleh perlahan-lahan, kali ini saya nak toleh laju-laju.

Sepantas kilat saya toleh, alangkah terperanjatnya saya. Betul apa yang hujung ekor mata saya saksikan. Sekujur susuk tubuh lelaki melebihi separuh umur sedang duduk bersila kira-kira tujuh meter dari saya.

Saya terkedu, hendak menjerit pun tidak terkeluar suara. Kaki jadi lembik, tangan menggigil. Mulut saya terketar-ketar. Nak baca apa pun tak keluar. Pendek kata, apa pun tak menjadi. Badan jadi longlai, saya terus pengsan.

Apabila sedar, saya sudah berada di bilik Alin. Ada tujuh orang kawan lain yang berada di situ. Alin kata, awalnya dia mahu temankan saya basuh pakaian. Sebab sebelum itu ada bunyi orang memberus pakaian. Tapi kemudian tiba-tiba senyap dan ada bunyi seperti baldi jatuh ke lantai. Itulah sebabnya Alin datang meninjau. Apabila sampai, dia terkejut bila lihat saya terbaring di lantai.

Alinlah yang panggil kawan-kawan lain untuk mengangkat saya ke biliknya. Lagipun bilik Alin yang paling dekat sekali kedudukannya dengan bilik basuh pakaian.

Saya ceritakan apa yang berlaku. Mereka semua terkejut. Yalah, siapa yang tak terkejut kalau ada seseorang muncul secara tiba-tiba di depan mata. Ghaib pun tiba-tiba juga.

Sebenarnya, susuk tubuh lelaki separuh umur itu bukan terlalu menakutkan saya, tetapi apa yang membuatkan saya terperanjat hingga pengsan sebab lelaki itu terawang-awang.

Selepas kejadian itu, apabila hendak membasuh pakaian, kami akan membasuh beramai-ramai. Sekurang-kurangnya tiga orang. Jadi, tidaklah lelaki separuh baya itu datang mengganggu.

Memang betul pun, sejak kami membasuh pakaian beramai-ramai, kelibat lelaki itu tidak muncul. Tidak pasti apakah ada pelajar lain yang pernah melihat kelibat lelaki itu kerana kami tidak pula bertanya atau menceritakan kejadian aneh itu kepada pelajar lain.

**Diceritakan oleh Suzana dari Kuala Lumpur.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram