Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 2022/1444 Peringkat Kebangsaan dan Majlis Bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan Tahun 2022, di Masjid Wilayah Persekutuan, malam ini./Gambar BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya rakyat jangan sesekali memperkecil, menghina dan mempersendakan agama semata-mata atas nama kebebasan bersuara.

Seri Paduka juga menuntut agar kesucian semua agama dipelihara dan dihormati pada setiap masa.

“Agama bukanlah merupakan satu perkara untuk bergurau senda dan dijadikan bahan jenaka.

“Beta khuatir perbuatan sedemikian bakal menyemarakkan api perkauman dan meruntuhkan ikatan perpaduan antara semua kaum yang telah terbina semenjak sekian lama,” titah baginda sempena majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M dan majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara malam ini. 

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sempena majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M dan majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara malam ini.  /Gambar FB Jakim

Baca: Ketat undang-undang bendung hina kesucian agama Islam

Semangat Tasamuh ahli-ahli Parlimen bolehkan RUU antilompat parti dilulus

Majlis itu juga dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad serta Jemaah Menteri.

Mengambil keberkatan kedatangan tahun baharu Hijrah ini, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat untuk memelihara nikmat dan rahmat negara yang merdeka dan berdaulat ini.

“Semoga Allah SWT menyinari hati dan sanubari kita dengan semangat perdamaian, menghindari dari sifat-sifat yang boleh mengundang perpecahan dan melindungi negara yang disayangi ini dari sebarang musibah dan bahaya,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah sesuai dengan tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’, peristiwa Hijrah Rasullullah SAW perlu dijadikan panduan untuk membina sebuah negara yang stabil dan gemilang.

Seri Paduka bertitah susulan daripada peristiwa agung itu, telah lahir sebuah negara Islam yang menjadi titik tolak perkembangan dan penyebaran agama Islam ke seluruh dunia.

Al-Sultan Abdullah bertitah pembinaan Madinah, merupakan realiti sebenar perpaduan dan kesatuan masyarakat majmuk sebuah negara Islam yang paling berjaya dalam sejarah politik dunia.

“Kesatuan tersebut berjaya dicapai menerusi kesepakatan semua kaum dan agama untuk hidup bernaung di bawah pemerintahan yang berteraskan kepada Piagam Madinah,” titah Seri Paduka.

Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah usaha hendaklah dirangka, supaya seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup bersatu padu, aman dan makmur bernaung di bawah Raja Pemerintah yang berdaulat dan menjulang prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Menghayati sirah Rasullulah SAW, Seri Paduka bertitah kesatuan sebuah masyarakat majmuk boleh dicapai dengan menghormati dan memahami kepelbagaian yang sedia.

Yang di-Pertuan Agong bertitah tuntutan hijrah pada hari ini bukan hanya bermaksud perpindahan tetapi ia melibatkan transformasi minda bagi membentuk budaya hidup berteraskan kepada moral dan etika.

“Sebenarnya sifat berburuk sangka, iri hati dan sentiasa mencari kesalahan orang lain adalah merupakan sifat tercela yang dimurkai oleh Allah SWT.

“Sifat-sifat ini membawa kesan-kesan negatif yang boleh mengaburi prinsip keadilan dan kesaksamaan sehingga akhirnya meruntuh serta memecah belah kesatuan ummah dan menghapuskan sejarah tamadun negara,” titah Seri Paduka.