Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan perutusan sempena Sambutan Maal Hijrah 1444 Hijrah./Gambar PMO

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh umat Islam untuk sama-sama menjaga keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia dengan mengamalkan konsep ‘Tasamuh’ atau toleransi yang dituntut dalam Islam yang sangat bersifat universal.

Menurut Perdana Menteri, semangat Tasamuh ini telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW, semasa membangunkan kota suci Madinah di mana golongan Ansar dan Muhajirin menzahirkan sifat toleransi yang melahirkan masyarakat berkasih sayang.

“Justeru, sikap toleransi atau berlapang dada, bukan hanya membolehkan kita untuk terus membangun sehingga dihormati, tetapi ia juga dapat mengelakkan kita daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan.

“Semangat Tasamuh ini telah diterjemahkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat ketika sebulat suara meluluskan Rang Undang Undang Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, pada 28 Julai 2022 yang lalu apabila sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik demi Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam perutusan sempena Sambutan Maal Hijrah 1444 Hijrah yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam ini.

Baca: Tasamuh mampu jadi alat satu padukan umat Islam dan dunia, sesuai konsep Keluarga Malaysia – PM

‘Sejarah tercipta di Dewan Rakyat hari ini’ – PM

Jelas Ismail Sabri, Hijrah – dalam konteks hari ini ialah berusaha untuk mengubah diri menjadi individu yang lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain.

Dalam ruang lingkup tugas tersendiri, kata Perdana Menteri, semua bertanggungjawab memastikan hubungan sesama anggota masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan, dan kesyukuran sepertimana yang ditekankan dalam konsep Keluarga Malaysia.

“Nilai-nilai ini amat penting untuk kita semua berhadapan dengan cabaran yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sehingga menyebabkan kita terpaksa bergelut untuk menanganinya.

“Alhamdulillah atas usaha dan kebersamaan, impak daripada krisis yang dihadapi seluruh dunia pada hari ini dapat kita lalui biarpun kesannya tetap dirasai.

“Peristiwa Hijrah juga mengajar kita supaya bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran atau kemungkinan. Dengan keadaan itu, kita dapat bersiap siaga sekiranya sebarang peristiwa buruk berlaku,” jelasnya.

Ismail Sabri turut mahu semua pihak menerapkan nilai-nilai peristiwa Hijrah ini supaya ia menjadi pemangkin kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Mengakhiri perutusan ini, saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1444 kepada seluruh Keluarga Malaysia beragama Islam, di mana jua anda berada.

“Raikanlah tahun baharu ini dengan semangat dan kekuatan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran demi kemaslahatan ummah,” ujarnya.