KETUA Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil meluahkan rasa kesal terhadap tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan telah mengenali Chean Chung sejak sekian lama iaitu ketika wakil rakyat itu berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Parlimen.
Pada masa sama, beliau menegaskan tidak melihat sebarang perubahan ketara dari segi landasan dan perjuangan PKR.
“Beliau (Chean Chung) telah dipilih oleh anggota dalam pemilihan parti pada tahun 2025.
“Saya cuma kesal beliau tidak bersama untuk menyampaikan pandangan. Lagi pun dah lama beliau tidak hadir ke mesyuarat MPP.
“Saya beri contoh, dalam MPP PKR, ada ramai pimpinan yang sering kali tidak mempunyai pandangan sama,” katanya dalam sidang media mingguan hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan perbezaan pandangan dalam PKR sepatutnya dibawa secara dalaman termasuk dalam mesyuarat MPP.
Memberi contoh Elizabeth Wong Keat Ping, Fahmi berkata, pemimpin wanita itu sering kali memberi pandangan dan pendirian yang berbeza dengan pimpinan yang lain.
Mengulas dakwaan Chean Chung berhubung tekanan parti termasuk sekatan akses MyKhas, Fahmi berkata, perkara itu boleh dibincangkan secara dalaman.
“Dalam apa-apa perkara, datang berbincanglah. Tak menjadi isu. Malah saya boleh nyatakan, saudara Chean Chung ada berhubung dengan saya tetapi tidak bangkitkan isu ini,” katanya.
Fahmi berkata, beliau bersedia untuk berbincang sekiranya Chean Chung mahu membangkitkan sebarang perkara berkaitan parti.
“Jadi, nak seribu daya, tak nak seribu dalih,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

