Rakyat Malaysia dinasihat elak kawasan demonstrasi di pusat bandar Jakarta

Dari Penulis

RAKYAT Malaysia yang berkunjung ke Jakarta, Indonesia untuk urusan perniagaan atau pelancongan dinasihatkan supaya menghindari lokasi demonstrasi di beberapa kawasan di pusat bandar itu, hari ini.

Menurut pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, pihaknya sentiasa memantau perkembangan terkini laporan demonstrasi khususnya di Bundaran HI dan Patung Arjuna Wiwaha (Patung Kuda).

Demonstrasi tersebut jelasnya, akan mempengaruhi aliran trafik di beberapa lokasi di Jakarta Pusat, khususnya di Jalan MH Thamrin, Jalan Jenderal Sudirman, dan Jalan Medan Merdeka Barat.

“Kedutaan Besar Malaysia menasihatkan warganegara Malaysia supaya merancang pergerakan dan mengikuti perkembangan semasa melalui pengumuman pihak berkuasa di media tempatan,” jelasnya dalam kenyataan.

Pihak kedutaan menambah, warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk tidak melibatkan diri dalam apa jua tindakan yang menyalahi undang-undang tempatan.

Kedutaan itu turut menggesa rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular supaya menghubungi talian hotline +6281380813036.

Menurut laporan Kompas, golongan mahasiswa akan mengadakan demonstrasi bagi menyeru penghentian pembaziran peruntukan, menurunkan harga barang keperluan asas, menghentikan Program Makan Bergizi Percuma (MBG) serta menolak unsur ketenteraan dalam sektor awam.

Seramai 4,151 anggota gabungan Polis Republik Indonesia (Polri) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) ditempatkan bagi mengawal lalu lintas, pergerakan konvoi kenderaan, penutupan jalan secara situasi tertentu, gangguan terhadap kemudahan awam serta potensi jenayah.

Ketua Badan Eksekutif Mahasiswa Universiti Indonesia, Yatalathof Ma’shum Imawan berkata, apa yang diperkatakan kerajaan tidak selari dengan realiti yang dihadapi masyarakat.

Menurutnya, keadaan ekonomi mungkin kelihatan baik di atas kertas, namun harga barang keperluan asas terus meningkat, peluang pekerjaan semakin terhad dan rakyat terbeban dengan cukai.

“Kerajaan pula sibuk menggilap imej sendiri sambil mengagihkan projek kepada kroni. Ini bukan soal perbezaan politik. Ini soal siapa yang benar-benar menanggung kerugian, dan jawapannya ialah kita semua sebagai rakyat yang terjejas,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Abdul Hadi umum beberapa perkara penting esok, Pas buat keputusan Rabu

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan beberapa perkara penting ketika merasmikan Konvensyen RESET Malaysia yang akan...

More Articles Like This