KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengambil inisiatif untuk menambah empat lagi kategori dalam pemberian tablet program PerantiSiswa khusus untuk pelajar B40.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kategori yang diperluaskan itu ialah pelajar program asasi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pelajar program matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Jelas beliau, dua lagi kategori ialah pelajar semester 1 dan 2 sekolah menengah (Tingkatan 6) di bawah KPM dan pelajar yang mengikuti program di Kolej Vokasional yang menawarkan pengajian diploma.

“Semua kategori ini boleh membuat permohonan mulai hari ini sehingga 30 Sept,“ katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Baca artikel berkaitan: PerantiSiswa: Kerajaan usaha beri peranti berkualiti – Annuar Musa

Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai status pemberian tablet oleh K-KOMM melalui program PerantiSiswa dan jumlah tablet yang bakal diagihkan kepada pelajar daripada golongan B40 setakat ini.

Terdahulu, penerima program PerantiSiswa itu terdiri daripada mereka yang mengikuti program sepenuh masa diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda di IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di bawah kendalian KPT.

Selain itu, mereka yang layak juga terdiri daripada pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah KPM, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah KPM dan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Jawatankuasa perolehan juga sudah memilih jenama Samsung untuk diberikan kepada penerima program tersebut.

Jelas beliau, jenama itu sudah memenangi tawaran tender terbuka membabitkan lima pembekal dan lima zon berbeza, iaitu Sabah dan Sarawak di zon pertama serta zon utara, tengah, timur dan selatan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram