MENURUT kajian, kira-kira 65 juta tahun dahulu, Bumi pernah dihentam oleh sebuah meteorit gergasi berukuran 15 kilometer persegi. Hentaman tersebut telah menyebabkan kemusnahan yang dahsyat dan memusnahkan hampir keseluruhan makhluk di Bumi.

Anggaran kemusnahan yang berlaku ialah kira-kira satu bilion kali lebih kuat daripada bom atom di Hiroshima. Ia menyebabkan berlakunya kebakaran dalam skala besar, gempa bumi yang berukuran lebih daripada 10 skala Richter serta ombak tsunami yang maha dahsyat. Ketika inilah hidupan dominan yang mengusai Bumi pada masa itu iaitu dinosaur dikatakan pupus dan lenyap dari dunia ini.

Saintis percaya, atmosfera wujud dahulu sebelum Bumi. Jika bukan disebabkan wujudnya ruang atmosfera di sekeliling Bumi, saintis menganggarkan hentaman tersebut mampu menghancurkan separuh Bumi ini secara total.

Berdasarkan fakta, setiap hari Bumi dihujani oleh meteor-meteor yang terdapat di ruang angkasa. Jika dicampuradukkan jisim asteroid itu, ia mencecah sehingga 1000 kilogram satu hari. Bagaimanapun kesannya tidak begitu ketara kerana atmosfera berfungsi untuk memusnahkan atau mengecilkan ukuran meteor sebelum ia mencecah permukaan Bumi.

Selain itu, atmosfera turut berfungsi menapis sinaran dari luar angkasa yang memberi kesan kepada hidupan. Atmosfera menelap sinaran yang berguna dan berfaedah, sama ada cahaya nampak, cahaya tak nampak dan gelombang radio untuk menembusinya. Semua jenis radiasi ini adalah sangat penting kepada kehidupan.

Cahaya nampak yang sebahagiannya dibenarkan menembusi atmosfera diperlukan untuk menjalankan proses fotosintesis. Manakala kebanyakan sinaran ultra violet dengan keamatan tinggi yang dipancarkan oleh matahari ditelap keluar oleh lapisan ozon dalam atmosfera.

Bukan itu sahaja, atmosfera turut melindungi Bumi daripada kesan pembekuan dari luar angkasa, dengan suhu lebih kurang -270 darjah centigrade. Jika tiada atmosfera, nescaya seluruh Bumi ini akan diselaputi oleh ais.

Allah s.w.t telah menarik perhatian kita tentang ciri-ciri unik ini melalui sepotong ayat dalam surah Al-Anbiya’, ayat 32.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan Kami jadikan langit itu sebagai atap terpelihara sedang mereka berpaling dari segala tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya.” (Al-Anbiya : 32)

Melalui ayat ini, Allah menjelaskan bahawa langit biru yang dilihat dari Bumi ini mempunyai fungsi perlindungan kepada Bumi serta makhluk yang mendiaminya. Perkataan ‘atap terpelihara’ dalam ayat tersebut secara saintifiknya boleh diistilahkan sebagai lapisan atmosfera kerana mempunyai ciri yang sama iaitu sebagai perisai kepada Bumi.

Lapisan atmosfera tidak bersendirian dalam menjalankan fungsi perlindungan kepada Bumi. Sebaliknya ia turut dibantu oleh jalur Van Allen – lapisan yang dihasilkan oleh medan magnet Bumi yang berfungsi sebagai pelindung radiasi berbahaya yang mengancam planet kita.

Radiasi yang secara berterusan dipancarkan oleh matahari dan bintang-bintang lain, berpotensi membawa maut kepada makhluk di Bumi. Sekiranya jalur Van Allen tidak wujud, letupan besar-besaran oleh tenaga nyalaan solar yang kerap terjadi di matahari akan menghancurkan semua kehidupan dalam dunia ini.

Sebenarnya Bumi mempunyai kepadatan paling tinggi berbanding sebarang planet dalam sistem solar kita. Teras besar nikel-besi ini bertanggungjawab untuk mewujudkan medan magnet gergasi. Medan magnet ini menghasilkan perisai radiasi Van Allen yang melindungi bumi daripada pengeboman radiasi. Sekiranya perisai ini tidak wujud, kehidupan tidak mungkin berada di bumi.

Satu-satunya planet berbatu selain Bumi yang mempunyai medan magnet ialah Utarid, tetapi kekuatan medan magnetnya 100 kali lebih kecil berbanding Bumi. Sementara itu di planet Zuhrah pula, langsung tidak mempunyai sebarang medan magnet. Justeru, ia adalah satu rekaan unik yang Allah ciptakan hanya untuk Bumi sahaja dan tidak kepada planet lain.

Tanpa kita sedari sebuah sistem yang sempurna sedang bekerja di luar permukaan Bumi. Ia mengelilingi dunia kita dan melindunginya daripada ancaman luar. Saintis hanya mengetahui hakikat ini ketika abad ke-20, tetapi Allah telah menerangkannya kepada kita dalam Al-Quran jauh lebih awal sebelum itu.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram