LIMA masjid di Kemboja menerima lapan buah lampu solar, 20 naskah Al-Quran dan 15 pasang telekung setiap satu hasil sumbangan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa)

LIMA masjid di Kemboja menerima lapan buah lampu solar, 20 naskah Al-Quran dan 15 pasang telekung setiap satu hasil sumbangan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) dan warga koperasi di Malaysia.

Majlis penyerahan yang berlangsung di Masjid Al-Husainiyah, O-Smaj, Kampung Trolach, Kemboja tersebut disempurnakan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Kemboja, Sman Manan yang mewakili Menteri Kanan, Tugas-Tugas Khas Kemboja, Okhnya Datuk Dr. Othsman Hassan.

Dalam ucapannya, beliau bersyukur atas sumbangan gerakan koperasi Malaysia kepada komuniti Muslim di Kemboja.

“Keikhlasan koperasi-koperasi di Malaysia ini memang patut dikenang, namun kini adalah masanya untuk kita semua bangkit dan melepaskan diri daripada kemiskinan dengan bersatu padu memajukan ekonomi sendiri dengan dipacu oleh golongan yang lebih muda,” katanya kepada para jemaah yang hadir.

Tambahnya, idea dan teori Angkasa tentang penubuhan koperasi kariah masjid adalah salah satu cara bagi memperkasakan ummah di Kemboja.

“Saya harap, dengan usaha kita bersama, selepas ini kita dapat membantu komuniti muslim lain di seluruh Kemboja pula,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Kemboja sambut baik usaha ANGKASA bawa idea penubuhan koperasi sekolah

Sebelum itu, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapan aluannya berkata, gerakan Koperasi Kariah Masjid (KKM) telah berjaya mentransformasikan komuniti muslim di Malaysia dan harapannya adalah untuk mewujudkan jaringan KKM di seluruh dunia bagi memperkasakan lagi produk dan perkhidmatan muslim.

“Daripada keseluruhan 6,500 buah masjid di Malaysia, 500 daripadanya adalah KKM yang menjadi jentera ekonomi kepada anggota dan jemaah terlibat.

“Gerakan ini penting kerana permintaan terhadap produk halal semakin meningkat dan seharusnya muslimlah yang menjadi pengeluar utama sekaligus mengawal ekonomi di negara masing-masing,” jelasnya.

Beliau juga berharap KKM mampu menjadi instrumen utama mengeluarkan komuniti muslim daripada garis kemiskinan di setiap negara.

“Koperasi adalah bahasa umum dan tidak hanya tertumpu kepada umat Islam sahaja tetapi melalui agenda KKM, saya yakin kita mampu berjaya dan dihormati, selain memberi manfaat kepada orang lain yang turut memerlukan,” jelasnya lagi menutup bicara.

Lima koperasi yang menerima sumbangan adalah Al-Husainiyah, Tropeang Jrov, Ael Husaiinah, Nurul Huda dan Al Majid yang berada di Provinsi Kampung Chnang.

Sumbangan lampu solar tersebut bakal menerangi jalan ke setiap masjid yang sebelum ini tiada sebarang lampu jalan.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Wanita Kemboja, Man Chenda; Naib Presiden Angkasa, Datuk Mohamad Ali Hasan; Ahli Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) Angkasa, Datuk Shaharudin Mohd Sa’ad; Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa (BHEA) Angkasa, Dr. Noraini Mohamad dan Pengurus Besar Bahagian Kepimpinan Modal Insan dan Keusahawanan, Ahmad Marzuki Ismail.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram