Bangunan KWSP yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. GAMBAR: ABD RAZAK AID

SEBANYAK RM145 bilion simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dikeluarkan menerusi pelaksanaan empat fasiliti pengeluaran berkaitan COVID-19.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata ia terdiri daripada RM145 bilion amaun yang dikeluarkan oleh ahli di bawah keempat-empat program pengeluaran dan hampir RM10 bilion impak daripada program pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja.

“Tahap simpanan ahli KWSP adalah rendah dan sangat membimbangkan terutamanya setelah perlaksanaan empat fasiliti pengeluaran berkaitan COVID-19 iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra serta Pengeluaran Khas; dan pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja bagi tempoh 27 bulan (April 2020 sehingga Jun 2022),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris mengenai langkah untuk menyelamatkan ahli pencarum KWSP yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Mohd Shahar berkata setakat 30 Jun 2022, seramai 6.62 juta ahli atau 52 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Daripada bilangan tersebut, 4.99 juta ahli atau 75 peratus adalah ahli bumiputera.

“Pada masa yang sama, terdapat seramai 3.2 juta ahli berumur di bawah 55 tahun yang berada pada tahap simpanan yang amat kritikal iaitu kurang daripada RM1,000 iaitu 2.58 juta ahli atau 81 peratus daripada mereka adalah ahli bumiputera,” katanya.

Baca artikel berkaitan: KWSP buka cawangan baharu di Kwasa Damansara

Tambah Mohd Shahar sebagai perbandingan relatif, jumlah ahli bumiputera iaitu seramai 8.22 juta orang adalah merupakan 64 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun.

“Ini menunjukkan kebanyakan ahli bumiputera adalah tertumpu dalam kalangan ahli yang mempunyai tahap simpanan KWSP yang rendah berbanding kaum-kaum lain,” katanya.

Dalam usaha untuk membantu ahli menambah dan membina kembali simpanan persaraan mereka, KWSP menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan ahli mencarum ke dalam KWSP.

Mohd Shahar berkata bagi membantu ahli menambah simpanan persaraan mereka, KWSP menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan ahli mencarum ke dalam KWSP.

“Bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan, mereka boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun syer pekerja iaitu 11 peratus pada bila-bila masa.

“Selain itu, mereka juga boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa tertakluk kepada amaun maksimum RM60,000 setahun,” katanya.

Sementara itu, bagi ahli yang bekerja sendiri, tiada pendapatan tetap atau di luar tenaga buruh seperti pelajar dan suri rumah yang berumur di bawah 60 tahun turut boleh memilih untuk mencarum secara sukarela pada bila-bila masa mengikut kemampuan di bawah Program i-Saraan sehingga RM60,000 setahun.

Bagi Ketua Isi Rumah (KIR) atau isteri kepada KIR yang berumur di bawah 55 tahun dan berdaftar di bawah pangkalan data eKasih, mereka turut boleh mencarum secara sukarela di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Program i-Suri) yang diperkenalkan bagi menggalakkan wanita daripada isi rumah berpendapatan rendah untuk menyimpan demi hari tua mereka.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram