
PEMENANG pingat emas acara angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan pingat perak boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi pada Sukan Komanwel Birmingham, baru-baru ini terus mendapat penghargaan atas kecemerlangan mengharumkan nama negara.
Kali ini, kedua-dua atlet yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menerima imbuhan tambahan daripada alumni Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin.
Menurut Qobin, beliau terpanggil untuk menyumbang imbuhan tambahan itu bagi menyuntik semangat kepada kedua-dua atlet berkenaan.
Mohamad Aniq dan Nur Ain Nabilah merupakan mahasiswa FSR UiTM.
“Sebagai alumni FSR UiTM, saya merasa bangga dan berbesar hati di atas kejayaan dua pelajar FSR ini.
“Jadi dengan rezeki yang ada, saya terpanggil untuk menyumbang RM3,000 kepada Mohamad Aniq dan RM2,000 kepada Nur Ain Nabilah.
“Diharap sumbangan ini dapat menyuntik semangat mereka terus belajar dan pada masa sama kekal fokus dalam latihan supaya dapat mencapai kejayaan lebih gemilang di temasya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM dan mentor Qobin sewaktu bergelar mahasiswa iaitu Prof. Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah.
Ibrahim merupakan Naib Canselor UiTM pada tahun 2004 yang menjadi tunjang utama kejayaan Muhamad Muqharabbin menakluk Gunung Everest bersama Ahmad Reduan Rozali.
Baca artikel berkaitan: Pendaki perlu tunjuk bukti tawan Gunung Everest
Mengulas lanjut, Qobin turut berharap lebih ramai individu dan tokoh korporat lain termasuk alumni UiTM dapat memberi sokongan kepada atlet universiti itu di persada antarabangsa.
“Sebagai atlet sukan rekreasi dan ahli perniagaan, selagi mampu untuk saya membantu atlet sukan yang berpotensi membawa nama Malaysia dan memperoleh pingat.
“Saya akan turun padang memberikan sokongan dan semangat buat mereka,” jelas beliau.
Qobin merupakan mahasiswa Malaysia pertama bersama Ahmad Reduan yang sampai ke puncak Everest pada tahun 2004 selain meneruskan kejayaan berbasikal dan bermotosikal merentasi 22 negara serta menjadi Penjelajah Grand Slam (Last Degree) pertama Malaysia iaitu menamatkan pendakian di 7 puncak tertinggi di 7 benua antara 2010-2014 dan berski (last degree) dari titik 89 ke titik 90 darjah di Kutub Utara dan Kutub Selatan pada 2017 -2018.
Beliau juga berjaya membawa 7 pendaki termasuk 5 anak felda ke puncak Everest pada 2013, berjaya menghantar 7 perenang ke Selat Inggeris (2012) di mana seorang berjaya berenang solo dan enam yang lainnya berganti ganti, berjaya membawa 8 penjelajah merentasi pulau Greenland (pulau terbesar di dunia) sejauh 580KM dan beberapa kejayaan lain di dalam dan luar negara.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram