PROGRAM Wellbound 2025 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di Sekolah Menengah Kebangsaaan Taman Yarl, Bukit Jalil di ibu negara pada semalam adalah bagi memperkasakan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.
Pengarah Program, Noor Fatihah Mustapha berkata, program itu dianjurkan ekoran kebimbangan terhadap kesedaran terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah menengah berkaitan tekanan perasaan atau emosi yang dialami mereka.
“Program ini amat penting kerana ramai dalam kalangan remaja tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami tekanan atau masalah emosi.
“Melalui program ini, kita dapat menambah pengetahuan tentang tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dan cara mengatasinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, program yang bertemakan ‘Tubuh Sihat, Kendiri Kuat’ dan ‘Nyawa Ada Satu’ itu juga bertujuan membuka minda pelajar serta mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental.
“Usaha ini juga dapat membantu generasi muda lebih terbuka untuk mendapatkan pertolongan berkaitan kesihatan mental mereka apabila diperlukan
“Kami berharap inisiatif ini dapat menjadi langkah awal yang bermakna dalam perjalanan kesihatan mental generasi muda Malaysia,” ujarnya lagi.
Sementara itu Pengetua SMK Taman Yarl, Dr. Ahmad Kamal Arifin berkata, pihak sekolah menyatakan sokongan penuh usaha menerusi program berkenaan bagi menekankan kesejahteraan kesihatan mental selain manfaat jangka masa panjang dalam kalangan pelajar.
Program Wellbound 2025 ini merupakan inisiatif perintis yang menggabungkan pendidikan kesihatan dengan pemerkasaan ilmu pengetahuan terkini melalui pembelajaran interaktif dan perkongsian pandangan pakar.
Wellbound 2025 dijayakan dengan penyertaan seramai 400 orang pelajar SMK Taman Yarl membabitkan pelajar Tingkatan Satu sehingga Tingkatan 4 manakala seramai 25 lagi peserta terpilih termasuk pendidik, pelajar, dan wakil organisasi bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam program terbabit dalam usaha mempromosikan kesihatan mental dan kesejahteraan dalam kalangan belia.
Program yang bermula jam 12.30 tengah hari sehingga 4 petang itu diisi dengan dua ceramah yang bertajuk ‘Mental Heath Talk – Cara Meningkatkan Fungsi Otak’ oleh Penceramah Awam & Advokat Kesihatan Mental, Amirul Ramli dan ‘Batasan Sosial Sihat’ oleh Ahli Psikologi Pusat Kaunseling dan Kerjaya UiTM Shah Alam, Muhammad Iman Hafeez Mukhatar.

Majlis Kanser Nasional (MAKNA) turut terlibat sepanjang program itu berlangsung dengan menyediakan trak kesedaran berkaitan kanser dan kesihatan am, selain kumpulan kesedaran Disleksia untuk saringan awal kesukaran pembelajaran, dan MC247 untuk konsultasi kesihatan percuma.
Wellbound 2025 turut dijayakan dengan kerjasama penaja strategik termasuk termasuk Ajuwa Yusof, Yakult, Adamidea, dan Kelantan Gold Trade.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

