SEJAK abad ke-6 Sebelum Masihi, manusia percaya bahawa unit terkecil bagi sesuatu jirim adalah atom. Doktrin falsafah ‘Theory of Atomisme’ ini diusulkan oleh seorang ahli kimia kuno dari Greek iaitu Democritus.

Beliau berpendapat, apa saja benda sama ada pepejal, cecair, gas atau apa sahaja rupa bentuk sekalipun, pada asasnya terbina daripada zarah halus yang berupa atom. Dengan kata lain, atom diterjemahkan sebagai partikel yang paling kecil dan tiada lagi pecahan selepas itu.

Teori itu bukan hanya tertakluk kepada objek yang tidak bernyawa, tetapi turut merangkumi benda hidup seperti tumbuhan, haiwan dan manusia.

Democritus, ahli kimia Greek.

Dari benua Eropah, teori atomisme ini kemudian berkembang serata dunia. Sekalipun pada zaman itu belum ada pembuktian secara saintifik, majoriti saintis dunia menerima falsafah itu kerana tiada teori lain yang diusulkan berkaitan dengannya. Cuma, istilah yang diguna pakai berbeza mengikut lokasi.

Di wilayah Arab misalnya, atom diistilahkan sebagai ‘dharrah’ atau zarah – berdasarkan manifestasi yang dicedok dari perkataan yang digunakan di dalam Al-Quran.

Di Yunani dan Greek, ia dikenali sebagai atomos, manakala golongan cendekiawan di Perancis pula menggelarnya sebagai atome.

Ketika teori mengenai atom ini diperkatakan, Islam melihat perkara ini dari sudut yang berbeza. Ini kerana, keterangan di dalam Al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad pada abad ke-7 Masihi memiliki pemahaman yang berlawanan arus dengan hukum fizik atomisme ketika itu.

Dalam surah Saba’, ayat 3 ada dinyatakan bahawa partikel terkecil bukanlah atom atau zarah, sebaliknya terdapat sesuatu yang lebih kecil daripada itu.

Firman Allah yang bermaksud, “… (sesungguhnya) Allah yang Maha Mengetahui yang ghaib, tidak tersembunyi dariNya seberat zarah di langit dan di bumi, dan tidak pula sesuatu yang lebih kecil dari itu, dan tidak pula yang lebih besar, melainkan semua (tercatat) di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang jelas.” (Surah Saba’: ayat 3)

Ayat di atas merujuk kepada kebesaran Allah yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu, baik yang terang mahupun yang tersembunyi. Secara tersurat, ayat ini juga menunjukkan bahawa terdapat sesuatu partikel yang berukuran lebih kecil dari atom, yang mana prinsipnya dilihat agak janggal dengan pemahaman sains semasa.

Namun, ayat yang dinyatakan di dalam Al-Quran ini kurang mendapat perhatian, dan sebahagian besar golongan cendekiawan masih berpegang teguh pada teori atomisme.

Selama berabad-abad doktrin atomisme ini terus berlegar-legar di dalam dunia sains. Sehinggalah pada tahun 1803, istilah atom menjadi lebih popular apabila seorang ahli kimia Inggeris, John Dalton telah mengutarakan ‘teori atom Dalton’ bagi menerangkan sifat sesuatu bahan. Bermula dari pendedahan itu, ilmu fizik berkembang ke cabang yang lebih mendalam lagi iaitu fizik kuantum (juga dikenali sebagai mekanik kuantum).

Teori atom Dalton.

Kemunculan JJ Thompson pada tahun 1897 menerusi uji kaji tiub sinar katod telah menenggelamkan kejayaan tokoh-tokoh sebelumnya.

Thompson dalam kajiannya terhadap atom telah menemui elektron bahkan beliau berjaya menyukat nisbah cas elektron dalam model atom plum pudding. Dengan kata lain, eksperimen tersebut menunjukkan bahawa partikel kecil atom dalam sesuatu bahan sebenarnya mempunyai pecahan unit yang lebih kecil.

JJ Thomson, saintis yang berjaya membuktikan atom bukanlah partikel terkecil.

Dalam dunia moden hari ini, falsafah sains menyatakan bahawa atom sesuatu bahan merupakan zarah komposit yang terbentuk daripada zarah-zarah sub atom atau zarah asas. Sehingga kini, model piawai sains moden mempunyai 40 spesies zarah asas yang boleh bergabung membentuk zarah-zarah komposit.

Jelaslah di sini bahawa atom bukanlah entiti tunggal paling kecil bagi sesuatu jirim, sebaliknya ia boleh dipecahkan lagi kepada partikel-partikel yang lebih halus. Kenyataan ini secara tak langsung menunjukkan bahawa apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran adalah satu fakta yang mendahului zaman.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram