DAKWAAN warganet bahawa kerajaan Malaysia banyak berhutang dengan Indonesia adalah tidak betul.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, 97.5 peratus hutang negara adalah pinjaman dalam negara sedangkan hanya 2.5 peratus sahaja hutang negara adalah pinjaman luar.
“Baru-baru ini saya buat video pasal hutang isi rumah, ramai yang tinggalkan komen tanya, “YB, betul ke Malaysia banyak berhutang dengan Indonesia?”
“Jawapan mudah dia, TAK BETUL!,” katanya dalam satu hantaran Facebook malam ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, jumlah 2.5 peratus yang sedikit itu adalah pinjaman dari pelbagai institusi dan pelabur asing seluruh dunia.
“(Ia) dari USA, Eropah, China, Jepun, Singapura dan banyak lagi.
“Jadi, 2.5 peratus pinjaman asing ni takkanlah Indonesia tapau semua? Memang tak logik lah,” katanya.
Jelas beliau, cara kerajaan meminjam tidak seperti cara individu meminjam dengan rakan mereka.
Sebaliknya, antara kaedah pinjaman kerajaan adalah menerusi terbitan bon yang mana pelabur akan membuat bidaan dengaan kerajaan memilih pelabur yang bida kadar pulangan rendah beserta jumlah yang paling tinggi.
“Adalah perkara yang jarang berlaku bagi kerajaan membuat pinjaman secara langsung sebaliknya mengikut proses seperti bidaan,” tambahnya.

