Bajet 2023: Fokus inisiatif hadapi cabaran ekonomi suram – Ismail Sabri

Dari Penulis

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Bajet 2023 yang dibentang Oktober ini akan menyentuh setiap segmen masyarakat dengan fokus mempersiapkan setiap daripada mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia yang dijangka lebih ‘suram’ tahun hadapan.

Perdana Menteri berkata ketika ini proses libat urus bagi penyediaan bajet sedang berlangsung dan akan melibatkan banyak pihak.

“Kita akan jumpa semua termasuk pembangkang. Semua kita akan jumpa, persatuan, komuniti perniagaan, peladang, penternak, semua sekali. Perundingan bajet akan diadakan minggu depan,” katanya dalam temu bual Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

Hari ini genap setahun Ismail Sabri menerajui kerajaan Keluarga Malaysia. 

BERITA BERKAITAN Setahun Keluarga Malaysia: Demi keharmonian rakyat – Ismail Sabri

Pada 15 Ogos, Ismail Sabri berkata Bajet 2023 antara lain akan terus memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia. Ia juga akan mengambil kira kesediaan negara berdepan kemungkinan keadaan ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini. 

Julai lepas, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva berkata IMF menjangka keadaan ekonomi global akan terus sukar pada 2022 dan 2023 dengan risiko kemelesetan semakin meningkat.

Menurut IMF, keseluruhan prospek disifatkan sebagai “amat tidak menentu,” dan kadar inflasi akan meningkat tinggi yang menyebabkan bank-bank pusat ekonomi utama melaksanakan dasar monetari lebih ketat. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata beliau yakin pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat nanti akan mendapat sokongan penuh pembangkang kerana ia merupakan satu daripada intipati yang ditandatangani kedua-dua pihak dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

“Bajet, dari segi MoU dia (pembangkang) mesti sokong kita. Proses yang sama seperti bajet tahun lepas, dia akan sokong sebab itu dari segi MoU, kecuali kalau pilihan raya sebelum Bajet,” katanya.

MoU berkenaan yang ditandatangani September tahun lepas bertujuan membawa kestabilan dan dimensi baharu politik negara. Tiada tarikh tamat ditetapkan dan kedua-dua pihak setuju bekerjasama dan sokongan akan diberi kepada perdana menteri sehingga Parlimen dibubarkan.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Konflik Asia Barat: Rakyat perlu sedia hadapi gelombang kenaikan kos hidup

KONFLIK Asia Barat yang membawa kepada krisis tenaga global memberi kesan ketara kepada fiskal negara, sekali gus mencetuskan kebimbangan...

More Articles Like This